‘Touch down’ di Sabah, cinta mula berputik – Syed Saddiq

MENGIMBAS detik awal perkenalan, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq menyifatkan pengalaman tersebut sebagai fasa istimewa yang bukan sahaja mendekatkan dirinya dengan pelakon Bella Astillah, malah membolehkannya mengenali keluarga isterinya dengan lebih rapat.

Pemilik nama lengkap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 33, mengakui tidak pernah menyangka dirinya akan jatuh cinta dengan keistimewaan negeri di bawah bayu itu.

“Selepas dua hingga tiga bulan pergi ke pelbagai negeri (untuk penggambaran), apabila datang ke bumi Sabah saya rasa sesuatu yang luar biasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bila ‘touch down’, bermula rasa cinta. Ketika pergi dari pulau ke pulau, saya dapat mengenali Bella dan keluarganya dengan lebih erat serta rapat.

“Sejak itu saya nampak sisi berbeza, bukan sekadar sebagai pelakon dan penyanyi, tetapi dapat melihat kasih sayangnya terhadap anak-anak,” katanya ketika berucap pada majlis resepsi di Sabah.

Tambahnya, dia turut tersentuh melihat ketulusan hati pelantun lagu Bersama Aku Setia Selamanya itu yang sentiasa prihatin terhadap masyarakat setempat.

“Saya juga melihat sisi Bella yang sangat prihatin, melawat dari kampung ke kampung.

Kini, sejarah tercipta apabila anak Johor dan Sabah bersatu. Bukan sahaja di tempat tertinggi Menara 118, malah pengakhiran romantis kami diraikan menerusi resepsi bersama anak-anak Sabah hari ini.

“Selepas ini saya akan lebih rajin dan kerap turun ke Sabah sebab isteri orang sini. Insya-Allah, saya akan sentiasa berada di sisi isteri untuk mengenali kalian semua dengan lebih erat,” ujarnya.

Pada masa sama, bekas Menteri Belia dan Sukan itu turut merakamkan penghargaan kepada isterinya yang banyak mengajarnya tentang erti kematangan.

“Terima kasih isteri tercinta atas tunjuk ajar bagaimana menjadi lelaki, suami dan ayah yang lebih baik. Apa yang lebih penting, awak memperkenalkan saya kepada dunia luar.

“Bila pergi ke Parlimen, orang cakap saya selalu senyum. Mana taknya, dah kahwin dan isteri pula Bella Astillah.

“Saya harap tempoh bulan madu ini akan berkekalan sampai bila-bila,” jelasnya.

Menyentuh mengenai peranan baharunya sebagai ketua keluarga, Saddiq turut meluahkan rasa teruja dan berjanji akan menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin terhadap dua anak tirinya, Ayden Adrean dan Ara Adreanna.

“Tak dilupakan Ara dan Ayden. Terima kasih kerana benarkan saya menjadi ayah kalian. Saya janji akan menjadi ayah yang bertanggungjawab.

“Tiga minggu mereka di rumah, saya dah tahu lenggok mereka. Kadang-kadang ‘daddy’ terlebih disiplin mengenai waktu makan dan tidur.

“Semua perkara baik yang ditonjolkan Ayden dan Ara adalah hasil didikan Bella,” tuturnya.

Hari ini, puluhan ribu orang menghadiri Kenduri Rakyat Saddiq dan Bella yang berlangsung di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah.

Minggu lalu, orang ramai mula memenuhi kawasan dewan bagi menghadiri Majlis Kenduri Rakyat Bella dan Saddiq di Muar seawal pukul 7 pagi.

Terdahulu, Bella atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah dan Syed Saddiq selamat disatukan sebagai suami isteri pada 10 Oktober lalu di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur.

Pasangan itu turut mengadakan majlis resepsi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) yang dihadiri kira-kira 3,000 tetamu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok