SUASANA Majlis Kenduri Rakyat meraikan perkahwinan pelakon Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq bertukar menjadi tidak terkawal selepas lokasi majlis dibanjiri ribuan tetamu yang datang dari serata tanah air.
Melihat kepada situasi tersebut, Syed Saddiq, 33, menegur petugas agar membiarkan orang ramai memasuki ruang dewan Yong Sheng Banquet Hall, Muar, Johor supaya tidak kepanasan menunggu di luar dewan.
“Dewan atas banyak kosong, kita terlalu fokus nak biar orang duduk, itu tak penting.
“Tak adil orang boleh duduk sini, di luar kepanasan. Biarkan mereka masuk.
“Kita terlalu fokus dengan acara rasmi tapi ini bukan,” katanya kepada petugas dalam sebuah siaran langsung.
Dalam masa sama, Saddiq menzahirkan ucapan terima kasih buat orang ramai yang sanggup datang ke majlisnya selain memohon maaf sekiranya ada kekurangan. Lebih menari juga, kenduri berkenaan turut mendapat penajaan bernilai RM500,000 daripada beberapa pihak.
“Saya minta kebenaran isteri saya untuk ringkaskan dan padatkan ucapan kerana kalau boleh nak luangkan masa dengan rakyat yang tunggu di panas terik berjam-jam.
“Cuma kami ingin ucapkan terima kasih, saya tahu ramai yang datang dari Perlis, Kedah, Terengganu dan ada yang terbang dari Kucing serta memandu dari Singapura.
“Kami terhutang budi terima kasih dan menyusun 10 jari kalau ada kekurangan, tak sangka,” katanya dalam sebuah ucapan.
Hari ini, seawal 7 pagi orang ramai mula memenuhi kawasan dewan Majlis Kenduri Rakyat Bella dan Saddiq di Muar.
Sebelum ini, Bella atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah dan Syed Saddiq selamat disatukan sebagai suami isteri pada 10 Oktober lalu di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur.
Majlis resepsi mereka berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) dengan kehadiran kira-kira 3,000 tetamu. – HIBGLAM

