TULAR foto dan video dirinya sedang mencatat nota dalam sebuah buku ketika duduk di pelamin majlis berinai, Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq mendedahkan ada alasan tersendiri kenapa dia berbuat begitu.
Menurut Saddiq atau nama lengkapnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 34, dia sudah terbiasa mencatat segala idea di dalam buku nota kecilnya. Dan ketika majlis berinai, dia mendapat ilham menulis ucapan buat Bella Astillah untuk majlis resepsi mereka yang berlangsung semalam.
“Saya sudah lama praktikan amalan ini. Bukan semua perkara kita boleh simpan dalam memori. Ada yang perlu ditulis. Dulu waktu nak belajar bahasa Inggeris pun saya buat benda yang sama.
“Kadang kala masuk tandas pun saya bawa buku nota. Idea terbaik kadang-kadang datang dari dalam tandas.
“Pada malam berinai tu bila saya dengar orang ramai bercakap, Bella bercakap tiba-tiba saya dapat idea untuk masukkan dalam ucapan saya sempena majlis resepsi. Saya rasa sayang kalau saya tak catat.
“Hari ini (semalam) pun saya bawa buku nota. Tetapi akhirnya saya buat keputusan untuk berucap dari hati ke hati,” katanya ketika ditemui ada sidang media usai tamat majlis resepsi di di MITEC, semalam.
Ditanya adakah dia membaca komen netizen yang mempersoalkan tindakannya membawa buku nota ke acara penting dalam hidupnya, kata Saddiq dia baca dan hormati pandangan setiap orang.
Sementara itu bagi Bella pula, dia tiada masalah dengan amalan suaminya, malah berbangga dengan tabiat si suami yang boleh dijadikan teladan buat anak-anaknya.
“Itu bukan suatu perkara yang buruk. Saya rasa itu adalah habit yang baik daripada dia buat benda yang bukan-bukan. Anak-anak pun boleh jadikan contoh.
“Walaupun ada segelintir pihak yang mempersoalkan. Kata mereka inikan majlis bahagia. Tetapi saya terima suami saya seadanya. Saya rasa perkara sekecil itu tidak perlulah diperbesarkan,” ujarnya.
Semalam, Bella dan Saddiq meraikan 3,000 tetamu di majlis resepsi pertama mereka yang dihadiri ramai tokoh politik, atlet negara dan selebriti tanah air.
Majlis yang mendapat gelaran Wedding Of The Year itu turut disiarkan secara langsung dalam televisyen menerusi saluran Astro. – HIBGLAM

