‘Lebih segar, kelainan selepas 20 tahun ‘ – PGLM dipentaskan hari ini

PENANTIAN ramai khususnya pembeli tiket untuk kembali menyaksikan pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) akhirnya bakal menjadi realiti apabila pentas akan dibuka bermula hari ini di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square.

Menurut Pengarah PGLM, Puan Sri Tiara Jacquelina, pementasan tersebut sekali gus menjawab lambakan soalan yang diajukan kepadanya sama ada PGLM bakal dipentaskan semula sekali gus membuktikan karya epik itu masih dekat di hati penonton.

“Ini adalah perjalanan yang mengambil masa 18 tahun untuk direalisasikan. Sejak persembahan pentas terakhir kami pada 2009, orang ramai tidak pernah berhenti bertanya bila PGL akan dipentaskan semula.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setiap kali kami mementaskan pertunjukan lain, malah ketika mengadakan sidang media, soalan yang sering diajukan ialah, bila PGL akan kembali?” katanya pada sesi raptai penuh PGLM di JCPAC, di sini, semalam.

Tambah tiara, keputusan untuk mengembalikan pementasan ikonik tersebut juga disebabkan dorongan penerbit eksekutif bersama, Melissa Teoh daripada JCPAC yang merasakan PGLM patut dipersembahkan semula kepada penonton.

“Kehadiran seorang wanita iaitu Melissa dari JCPAC yang juga penerbit eksekutif bersama saya untuk pementasan ini, menjadi titik penting untuk PGLM 2026

“Kali ini saya sangat gembira untuk melakukannya dengan visi sendiri yang berbeza perspsektif ketika menjadi seorang Gusti Putri.

“Visi saya mahu memberi sesuatu yang lebih segar dan ubah beberapa perkara ditambah dengan bantuan teknologi. Itulah kelainan PGLM selepas 20 tahun,” katanya lagi.

Sebelum ini, Tiara memberitahu, PGLM turut menampilkan 50 pelakon di atas pentas, termasuk anggota ensembel yang diberikan identiti, nama dan latar watak tersendiri bagi menghidupkan lagi jalan cerita.

PGLM kali ini masih mengekalkan skrip dan lagu asal sementara rekaan set, prop serta busana pula diberikan nafas baharu. Susunan muzik juga diberi sentuhan segar oleh Saiful Ridzuan atau Duan daripada kumpulan Seven Collar T-Shirt.

Barisan pelakon utama kali ini menampilkan Aisha Retno dan Mila Mohsin yang berkongsi watak Gusti Putri Retno Dumilah, manakala Aqasha memegang peranan sebagai Hang Tuah.

Mimi Fly dan Nadia Aqilah juga antara yang menjadi perhatian menerusi watak Bayan, Luqman Hafidz sebagai Sultan Mahmud Shah dan Yusof Hashim pula menggalas perana Gusti Adipati Handaya Ningrat.

Naskhah terbitan Enfiniti Productions itu akan dipentaskan di JCPAC bermula hari ini hingga 15 November depan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok