Masih ada beberapa jam sebelum kenduri, ribuan orang ramai dilihat sudah berkumpul di perkarangan Yong Sheng Banquet Hall, Muar, Johor bagi Majlis Kenduri Rakyat penyanyi Bella Astillah dan Syed Saddiq.
Difahamkan, orang ramai mula berkumpul dan beratur sejak pukul 7 pagi tadi walaupun pintu pagar dibuka pada pukul 2 petang.
Rata-rata hadir menggayakan baju tradisional bagi meraikan pengantin yang diberi jolokan BASS itu sambil memegang payung untuk berlindung dari cahaya matahari.
“Penangan majlis perkahwinan Bella Astillah dan Syed Saddiq, orang ramai boleh masuk pukul 2 petang, tapi orang dah mula beratur dari pukul 9 pagi,” kata peminat.
“Majlis BASS ini bukan kenduri rakyat Muar, ini dah macam kenduri rakyat Malaysia. Tengok ada dari Singapura, Perak, Terengganu dan Selangor,” ujar pengikut.
“Katanya seawal 7 pagi orang dah beratur nak pergi kenduri kahwin BASS di Muar. Pukul 1.30 petang baru bukak pagar,” tutur pengikut lain.
Sebanyak 10,000 makanan yang disediakan buat pengunjung yang hadir.
Malah, 10,000 pengunjung awal akan menerima cenderahati yang disediakan pengantin.
Sebelum ini, Bella atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah dan Syed Saddiq selamat disatukan sebagai suami isteri pada 10 Oktober lalu di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur.
Majlis resepsi mereka berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) dengan kehadiran kira-kira 3,000 tetamu. – HIBGLAM

