TEMPOH hampir tiga dasawarsa mengukir nama dalam industri hiburan bukan alasan untuk figura dengan nama pentas Aqasha itu bermegah berasakan dirinya cukup hebat.
Di sebalik kemilau lakonan dan nyanyian, Aqasha sebenarnya tidak pernah melihat dirinya sebagai bintang, apatah lagi menjadikan populariti sebagai matlamat utama dalam kerjaya.
Baginya, penerimaan selama bertahun dalam industri merupakan sesuatu yang berlaku secara alami impak keberhasilan kerja, bukannya sesuatu yang diburu terkejar-kejar.
Bukan sahaja menolak gelaran bintang, pemilik nama penuh Firdee Akassya Rosli tidak pernah melabel dirinya sebagai selebriti apatah lagi meletakkan diri dalam kelompok artis popular.
Katanya, tiada apa lagi yang mahu dikejar selepas lebih dua dekad bergelar anak seni.
Saya tak pernah melihat diri saya sendiri macam itu (nama besar) atau rasa macam seorang bintang sebab secara peribadinya, tidak percaya itu semua.
“Malah sekarang pun saya tidak tahu apa yang nak dikejarkan, namun saya syukur, ada orang tahu karya-karya lakonan dan lagu saya,” katanya kepada HibGlam.
Secara diam-diam, aktor berusia 44 tahun itu juga mengakui filem dan lagu Embun masih menjadi antara karya yang paling sinonim dengan namanya sehingga hari ini.
Embun itu memang sangat sinonim dengan saya, sampai sekarang, saya pergi mana-mana pun orang masih ingat.
“Itu yang sampai membuatkan saya rasa macam tak perlu ada empat lima album.
“Satu lagu dah cukup, orang boleh ingat sampai sekarang. Itu mungkin tuah saya,” katanya lagi.
Hang Tuah
Bercakap tentang tuah, entah satu keberuntungan atau kebetulan, kepercayaan sebuah produksi besar menyerahkan watak Hang Tuah dalam pementasan teater muzikal Puteri Gunung Ledang (PGLM), diakuinya satu pencapaian tertinggi sejak menceburkan diri dalam industri.
“Secara peribadi, saya adalah peminat muzikal PGL, saya mengagumi kehebatan penulisan naskhahnya, susunan lagu, muzik dan reka bentuk set pentas.
“Apabila diberi kesempatan untuk kembali menjadi sebahagian daripada pasukan ini, saya seronok, bersyukur dan bangga.
Masih lagi diberi kepercayaan untuk menjadi Hang Tuah, saya rasa itu adalah satu penghormatan yang sangat tinggi dalam kamus kerjaya seni saya,” ujarnya.

ELAK pancit dan bayangan tampan, gagah serta tidak lembik. Itu fokus dan antara kesengsaraan Aqasha sepanjang menghadam watak Hang Tuah, satu watak terhebat yang pernah dijayakan seumur hidupnya.
Katanya, pengalaman membawa watak sama ketika berusia 25 tahun dahulu banyak berbeza berbanding sekarang. Kini, dia lebih memahami Hang Tuah yang meletakkan kesetiaan terhadap Sultan Melaka dan kerajaan sebagai keutamaan.
“Kalau 20 tahun dahulu, ketika itu umur saya 25 tahun dan interpretasi tentang seseorang yang bernama Hang Tuah itu berbeza. Fokus utama ketika itu adalah pada babak cinta.
Sebab saya fikirkan orang mesti suka dan cair tengok babak cinta tetapi apabila sudah masuk ke umur sekarang, perspektif mula berubah.
“Kali ini saya melihat bagaimana Hang Tuah meletakkan sultan dan kerajaan Melaka sebagai tunjang karakter. Tanpa Melaka, tiada Hang Tuah, itu tunjang karakternya,” jelasnya.
Berkongsi lanjut, Aqasha menyifatkan proses menjiwai Hang Tuah kali ini lebih menyeksakan emosi. Dia bukan sekadar perlu menyampaikan dialog dan lagu, sebaliknya memahami setiap perasaan yang tersirat di sebalik pengorbanan watak tersebut.
“Kesengsaraan, kesedihan dan pengorbanan seorang Hang Tuah, bagi saya lebih dalam sekarang.
“Kalau dahulu mungkin saya sekadar buka mulut dan menyanyi, sekarang, pemaknaan serta pengisian lebih dalam.
Nak menjiwai Hang Tuah sekarang lebih sengsara sebenarnya. Ekstra sengsara,” tuturnya.
Bercerita gandingan dengan dua wanita cantik membawakan watak puteri dalam PGLM iaitu Aisha Retno dan Mila Mohsin, sungguh Aqasha tidak menafikan proses mencari keserasian menuntut cabaran, memandangkan setiap pelakon membawa pendekatan berbeza terhadap karakter masing-masing.
“Setiap proses kena ada cabaran. Kalau tak ada cabaran, maknanya kita buat kerja malas, buat kerja main-main.
Saya tak nafikan ada cabaran dan salah satunya bercinta dengan dua orang puteri ini,” kongsinya.
Bagaimanapun, Aqasha melihat kedua-dua pelakon itu berjaya memberikan persembahan mengagumkan menerusi tafsiran peribadi terhadap watak Gusti Putri.
“Antara Aisha dengan Mila, saya rasa tak banyak beza sangat, jurang usia pun tidak jauh tetapi saya dengan mereka yang banyak beza.
Secara peribadi, kedua-duanya melunaskan peranan sebagai Gusti Putri dengan cara yang sangat mengagumkan.
“Kedua-duanya mentafsir watak puteri seindah yang mungkin,” katanya.

BERLAKON mencintai dua wanita berbeza itu bukan luar biasa, namun mencintai dua wanita berbeza yang berkongsi nama dan watak serupa barangkali sesuatu yang jarang berlaku. Itu antara cabaran yang sedang digauli Aqasha ketika ini menerusi PGLM.
Tak ‘lepaskan’ watak
Rancak berbicara, Aqasha berkongsi sifat harfiahnya tidak pernah benar-benar ‘melepaskan’ mana-mana karakter, khususnya Hang Tuah yang pernah dijunjung secara understudy 20 tahun lalu.
“Sejujurnya, saya pelakon yang tidak pernah cuba keluar daripada watak dipegang.
Saya percaya proses itu akan beransur hilang secara semula jadi cuma untuk Hang Tuah, saya tidak pernah terfikir untuk watak ini pergi atau hilang.
“Saya suka kerana rasa Hang Tuah seorang lelaki yang berani, tangkas bersilat dan cekal.
“Itu membuatkan saya mahu pinjam karakter-karakter tersebut supaya personaliti menjadi lebih baik,” jelasnya.
Di sebalik tuntutan emosi dan penghayatan watak yang semakin mendalam, dia bagaimanapun berdepan cabaran fizikal untuk memastikan dirinya mampu memberikan persembahan terbaik sepanjang pementasan berlangsung.
Baginya, stamina menjadi antara perkara utama yang perlu diberikan perhatian memandangkan watak Hang Tuah menuntut penampilan seorang pahlawan yang gagah dan tangkas.
“Tumpuan utama sekarang adalah nak elak masalah ‘pancit’ sepanjang menghidupkan Hang Tuah ini.
Setiap kali bayangkan sosok tersebut, perkara pertama saya fikir adalah Hang Tuah perlu tampan, gagah, tidak boleh kalah atau lembik.
“Jadi, bila saya sendiri sudah berpendapat begitu, tentunya penekanan saya kepada Hang Tuah ini perlu lebih besar berbanding 20 tahun lalu.
“Kena beri penelitian lebih daripada saya beri penelitian kepada diri sendiri,” katanya mengakhiri perbualan. – HIBGLAM

