TIADA kompromi, pendakwah bebas, Haris Ismail atau PU Riz nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik akaun media sosial, Nurazian Abdul Talib susulan dakwaan fitnah yang melabelkan dirinya sebagai penunggang agama.
Peguam mewakili Riz, Faizal Rahman berkata, gelaran berkenaan bukan tuduhan ringan kerana berpotensi menjejaskan reputasi anak guamnya, lebih-lebih lagi apabila dilemparkan terhadap individu berlatarbelakangkan pendidikan agama serta bertauliah mengajar agama.
Istilah penunggang agama adalah label sangat berat. Jika disebut dalam konteks filem, mungkin tiada isu. Namun, apabila dilontarkan kepada individu berpendidikan agama dan memiliki tauliah daripada pejabat mufti, perkara itu merupakan satu fitnah amat nyata.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Sehingga kini, hantaran berkenaan mencatatkan 9.2 juta tontonan dalam tempoh sangat singkat.
“Perkara ini perlu dihentikan segera bagi mengelakkan reputasi anak guam saya terus terjejas,” katanya kepada HibGlam.
Paling penting kata Faizal, pihaknya sudah menyerahkan Notis Tuntutan (LOD) kepada individu terbabit semalam dengan memberikan tempoh 48 jam untuk memadam hantaran berkenaan serta mengemukakan permohonan maaf secara terbuka.
“Kami sudah menyerahkan notis tuntutan semalam dan memberikan tempoh 48 jam untuk individu berkenaan memohon maaf. Mungkin ada pihak menganggap tempoh itu terlalu singkat, tetapi jumlah tontonan hantaran berkenaan meningkat dengan mendadak sehingga mencecah 9.2 juta.
Sehingga kini, kami masih belum menerima sebarang maklum balas. Sekiranya tuntutan itu gagal dipenuhi, kami akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap individu terbabit di mahkamah,” ujarnya pada sidang media khas, hari ini.
Mengulas lanjut, Faizal mendakwa individu berkenaan mengambil kesempatan terhadap algoritma media sosial dengan mengaitkan nama PU Riz bagi meraih perhatian pengguna.
“Perkara ini menimbulkan persoalan apabila sebelum ini hantaran individu berkenaan hanya memperoleh sekitar dua hingga lima tanda suka. Namun, apabila nama PU Riz dipetik, jumlah tontonan melonjak sehingga jutaan.
Malah, individu itu turut mengaitkan anak guam saya dengan isu pihak lain yang langsung tidak mempunyai kaitan serta menyebarkan maklumat tidak benar kononnya acara di Johor baru-baru ini merupakan majlis agama berbayar, sedangkan program itu hanyalah sesi ramah mesra,” jelasnya.
Dalam sidang media sama, Faizal turut memaparkan empat keping gambar dimuat naik menerusi hantaran individu berkenaan, mendakwa bahan tersebut digunakan dalam kandungan berunsur fitnah terhadap PU Riz.
Sementara itu, PU Riz turut hadir pada sidang media berkenaan bagi memperlihatkan dokumen asal kelayakan pendidikannya, termasuk ijazah dalam pengajian agama daripada Open University Malaysia (OUM).
Beliau turut menunjukkan sijil pentauliahan mengajar agama diperoleh dari Wilayah Persekutuan, Perlis, Kelantan dan Sarawak bagi menjelaskan latar belakang serta kelayakannya dalam bidang berkenaan.
Terdahulu, pembatalan sebuah acara anjuran Nunha di Johor mencetuskan kekecohan di media sosial apabila timbul dakwaan dan salah faham bahawa sesi ramah mesra berkenaan merupakan program agama.
Susulan kontroversi itu, PU Riz menjadi sasaran kecaman netizen apabila didakwa tidak mempunyai kelayakan untuk mengajar agama, sekali gus dilabel sebagai penunggang agama. – HIBGLAM

