SEBUAH topi kecil hasil tangan bonda tercinta, Allahyarham Rohaya Sulaiman, sebelum menghembuskan nafas terakhir menjadi antara peninggalan paling berharga yang akan sentiasa dikenang pelakon Syafiq Kyle.
Menurut Syafiq atau nama sebenarnya Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 34, arwah ibunya banyak menghabiskan masa di dalam bilik selepas keadaan kesihatannya mula merosot.
“Sepanjang kira-kira dua bulan sebelum pemergiannya, ibu banyak menghabiskan masa di dalam bilik kerana keadaan kesihatannya tidak begitu baik.
“Dia tidak banyak bergerak, jadi dia menghabiskan masa dengan mengait.
Selepas ibu meninggal dunia, saya ternampak sebuah topi kecil yang sudah siap dikait olehnya,” katanya ketika ditemui pada sesi temu bual bersama pelakon filem Baga: Esok Untuk Siapa di Balai Berita, Bangsar.
Pada masa sama, pelakon drama One Cent Thief itu mendedahkan inisiatif tersebut dicetuskan isterinya yang juga pelakon Mimi Lana yang prihatin dengan keadaan ibu mentuanya.
“Kira-kira tiga bulan sebelum ibu meninggal dunia, isteri saya pernah bertanya kepada ibu sama ada dia tahu mengait.
“Ibu beritahu dia pernah mengait pakaian untuk anak-anak ketika kami masih kecil. Jadi, isteri saya membelikan satu set peralatan mengait untuk diberikan kepada ibu,” kongsinya.
Pengalaman tersebut membuatkan Syafiq mengingatkan orang ramai agar menghargai dan mengambil tahu impian terpendam ibu bapa.
“Pengalaman itu membuatkan saya sedar bahawa kita perlu terus mengejar impian, tidak kira sekecil mana sekalipun impian tersebut.
Setiap ibu pasti mempunyai impian. Kadang-kadang, apabila mereka melahirkan dan membesarkan anak-anak, mereka terpaksa berhenti mengejar impian sendiri.
“Jadi, kepada mereka yang masih mempunyai ibu, saya rasa kita patut cuba bertanya apakah impian mereka. Kalau boleh, cubalah bantu mereka mencapai impian tersebut,” ujarnya.
Sebelum ini, Syafiq memaklumkan ibunya meninggal dunia akibat kanser paru-paru tahap empat.
Pemergian Rohaya turut dimaklumkan adiknya, Syazwan Razak, bersama Mimi menerusi hantaran di media sosial pada 17 Oktober lalu. – HIBGLAM

