WAKTU terus berlari pantas sementelah warna industri hiburan berubah mengikut peredaran zaman, namun pelakon dan penyanyi, Liza Abdullah terus terpasak mewangikan bakti bakat seninya sejak empat dekad lalu.
Tempoh 44 tahun yang dilalui dalam arena seni bukan sekadar perjalanan mengejar populariti, sebaliknya kisah panjang tentang rezeki, pengorbanan dan takdir yang tidak pernah terlintas dalam fikirannya.
Akui anak jati Kuala Lumpur itu, langkahnya dalam gelanggang hiburan bermula dengan hasrat mencari duit poket sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Saat darahnya masih remaja, pemilik nama lengkap Norliza Abdullah, 62, itu tidak menyangka daripada suka-suka, bidang serba mencabar tersebut menjadi profesionnya hingga ke hari ini .
“Kalau nak kata saya berjaya dalam hidup ini, semuanya seiring dengan ketentuan Allah. Jadual dan perjalanan hidup kita sudah diatur. Orang kata hidup adalah pilihan, tetapi kadang-kadang kita tiada pilihan.
Ketika remaja, saya hanya fikir mahu mencari duit poket sementara menunggu keputusan SPM. Saya sendiri tidak pernah tahu ada bakat menyanyi atau berlakon.
“Walaupun zaman sekolah kerap sertai pertandingan, saya pertama kali ke RTM nak cuba nasib bintangi bangsawan. Depan panel saya baca skrip dan menyanyi santai-santai sahaja. Calon lain semua buat persediaan rapi, tak sangka terpilih,” katanya kepada HibGlam.
Ramah berbicara mengimbau masa lampau, penggiat seni yang sentiasa membumi itu mengakui stesen televisyen terbabit merupakan gelanggang pertama menonjolkan bakat.
“Awal 1980-an belum ada gambar warna. Kiranya saya bertuah apabila dapat ‘merasa’ muncul dalam drama hitam putih sebelum evolusi dunia penyiaran menghadirkan gambar berwarna.
Sebenarnya titik perubahan mula tercetus apabila gambar saya tersiar dalam ruangan Gadis Minggu Ini dalam sebuah majalah, tanpa disangka saya dihubungi Herman Tino yang ketika itu bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM).
“Waktu uji bakat bangsawan itu, saya bawa lagu yang bait liriknya berbunyi, ‘melur kayangan, melur kayangan si naga sari’. Dapat pula berlakon dengan ramai pelakon tersohor termasuk Allahyarham Minah Yem. Sangat menyeronokkan,” tuturnya dengan nada teruja.

BERMULA ketika dunia penyiaran masih dalam era hitam putih, Liza akui berasa beruntung memandangkan aktif dan diterima ramai walau zaman sudah berevolusi dalam arus digital dan AI.
RTM permulaan tapak
Tambah Liza lagi, selepas bakatnya dikesan produksi RTM, pelbagai naskhah lain dapat dibintangi, dia mula belajar daripada ramai pelakon berpengalaman seperti Allahyarham Mahmud June.
Baginya, pengalaman bekerja dengan barisan penggiat seni terdahulu menjadi sebahagian daripada proses pembelajaran yang tidak ternilai dan terakam dalam kotak ingatan sehingga kini.
Dia membesar sebagai anak seni yang menimba ilmu di lokasi penggambaran, belajar memahami disiplin dan tuntutan kerja daripada nama-nama besar.
RTM ketika itu menjadi antara platform penting untuk pelakon sepertinya membina kerjaya kerana dengan pilihan saluran dan peluang penerbitan yang tidak sebanyak hari ini, setiap tawaran drama membawa makna tersendiri.
Selain berlakon, Liza juga dikenali sebagai penyanyi (1984) sebelum merakamkan album berjudul Samarinda berkonsepkan pop etnik sekitar 1990-an.
“Saya tidak pernah melihat sesuatu watak sebagai peluang kecil yang boleh dipandang ringan. Semuanya rezeki dan tanggungjawab saya sebagai pelakon adalah memberikan yang terbaik tanpa memikirkan besar atau kecilnya peranan.
Berkat usaha serta sokongan orang sekeliling, perjalanan saya kemudian berkembang daripada drama kepada layar perak dalam karya seperti Ali Setan dan Ali Setan 2 selain Jejaka Perasan dan Marah-Marah Sayang,” ujarnya.

LAHIR dalam keluarga yang kuat agama dan dihormati, Liza akui awalnya sukar mendapat lampu hijau daripada arwah bapanya untuk masuk ke dunia hiburan.
Restu bapa
Selain naskhah komedi, hakikatnya nama ikonik itu mampu menonjolkan sisi berbeza menerusi naskhah menguji emosi penonton termasuk Tentang Dhia, Teduhan Kasih dan 7 Hari Mencintaiku.
Watak Mak Leha khususnya membuktikan perjalanan seni yang panjang tidak semestinya berakhir apabila seseorang pelakon melepasi zaman muda, sebaliknya pengalaman dan kematangan menjadi kekuatan untuk menghidupkan karakter yang lebih kompleks.
Namun dalam menempuh kemasyhuran yang meletakkan namanya di senarai papan atas, akui Liza jalan menuju kedudukan hari ini tidak mudah.
Di sebalik peluang yang hadir, dia berdepan cabaran pengorbanan dan kata-kata yang menguji ketahanan mental, terutama pada fasa awal mendapatkan restu keluarga, terutama bapanya.
“Arwah ayah seorang yang kuat pegangan agama, orang kampung memang hormat dia. Kalau nak digambarkan, beliau macam imam atau pak habib.
Saya percaya bukan mudah untuk ayah ‘lepaskan’ saya atau terima anaknya nak masuk dunia hiburan. Orang tua saya lebih utamakan pendidikan dan pekerjaan yang dianggap mempunyai jaminan masa depan.
“Jadi saya kena buktikan saya pandai jaga diri, jangan cepat mengalah. Sekarang pejam celik, sudah empat dekad saya di sini,” ulasnya tersenyum.
Kongsi Liza lagi, dia bukan satu-satunya anak dalam keluarga yang pernah diajukan peluang kerana seorang kakaknya pernah ditawarkan peranan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, manakala seorang lagi, Nur Cahaya menerima tawaran menghasilkan album daripada Datuk Ahmad Nawab.
Bagaimanapun, dedah Liza, kedua-dua peluang tersebut tidak mendapat persetujuan bapa mereka.
Akhirnya, dia yang merupakan anak keenam daripada tujuh bersaudara menjadi satu-satunya anggota dalam kalangan keluarga yang berjaya masuk ke dunia hiburan.
“Walaupun berdepan keraguan saya percaya ayah beri lampu hijau selepas meminta rakannya juga pelakon Ibrahim Din untuk menjaga saya. Situasi itu saya tafsirkan sebagai tanda restu secara tidak langsung.
Kepercayaan yang diberikan cukup bermakna. Bukan mudah untuk seorang bapa yang ada pegangan hidup tersendiri menerima pilihan kerjaya anak perempuannya dalam industri seni.
“Dari situ, saya belajar setiap peluang hadir bersama tanggungjawab. Kejayaan bukan sekadar bergantung kepada bakat, tetapi menuntut kesabaran, disiplin dan kesanggupan bertahan dalam cabaran,” ungkapnya. – HIBGLAM

