PELAKON Amir Ahnaf mengakui sukar untuk keluar daripada cengkaman watak Jani yang dilakonkan dalam filem Baga: Esok Untuk Siapa pada dua tahun lalu.
Amir atau nama penuhnya Muhammad Amir Ahnaf Mohd. Khairudin, 26, menyifatkan ketika itu fasa paling gelap dalam hidupnya selepas menghidupkan watak individu yang bergelut dengan kehidupan akibat penyalahgunaan dadah
“Selepas selesai penggambaran, boleh dikatakan saya melalui antara fasa gelap dalam hidup.
“Proses untuk keluar daripada karakter Jani ini sangat sukar,” katanya ketika ditemui pada sesi temu bual bersama pengarah dan pelakon filem Baga: Esok Untuk Siapa di Balai Berita Bangsar, baru-baru ini.
Selain itu, pelakon drama Cinta Dalam Sekam itu memanggil adik-beradiknya untuk menemani di rumah disebabkan kesan emosi dan bayangan watak berkenaan.
“Keputusan pertama yang saya buat ketika itu adalah menghubungi adik-adik dan minta mereka datang tinggal bersama sebab saya takut untuk duduk bersendirian.
“Apabila adik-adik datang, sekurang-kurangnya saya dapat melihat wajah mereka dan merasakan diri lebih selamat.
“Perkara yang paling saya takut ketika itu adalah bersendirian. Bagi saya, manusia menjadi lebih kuat apabila berada bersama orang lain,” katanya lagi.
Baga: Esok Untuk Siapa arahan Ariff Zulkarnain menampilkan gandingan pertama Amir Ahnaf dan Amirah Razak yang membawa watak Melur sebagai teraju utama.
Mengetengahkan genre jenayah dan drama, naskhah terbitan Indigo Films tersebut bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 5 November ini.
Baga: Esok Untuk Siapa yang menjalani penggambaran di Terengganu mengisahkan Jani dan Melur, sepasang kekasih muda yang terperangkap antara realiti kehidupan dengan impian untuk mengubah nasib mereka. – HIBGLAM

