SELEPAS dikecam hebat, ahli keluarga wanita yang tular gara-gara menarik tengkuk dan mengucup pipi penyanyi dan pelakon, Bella Astillah pada majlis resepsi dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Muar, Johor, Ahad lalu, tampil memohon maaf secara terbuka atas tindakan berkenaan.
Menantu kepada wanita terbabit tampil membuat permohonan maaf menerusi panggilan telefon ke stesen radio segmen 3 Pagi ERA apabila usaha menghubungi Bella menerusi mesej peribadi (DM) dalam Instagram tidak mendapat maklum balas.
Kami satu keluarga ingin memohon maaf di atas keterujaan mak saya itu. Saya betul-betul minta maaf. Sebab itu di luar jangkaan kami. Kami pun tak ‘expect’ benda ini berlaku.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Kami satu keluarga dah cuba DM di Instagram, tak ada respons. Jadi kebetulan saya nampak Bella saya terus ‘call’,” katanya menerusi hantaran video di Instagram.
Sementara itu, Bella bersikap terbuka dengan insiden berkenaan menegaskan dia tidak mengalami sebarang kecederaan selain menghargai usaha menantu wanita berkenaan untuk menghubunginya.
Dalam pada itu, Bella turut memohon maaf bagi tindakan segelintir peminatnya yang mungkin mengguris hati wanita terbabit.
Tak apa. Saya sendiri tuan punya badan okey, tiada apa-apa masalah, tiada apa-apa kecederaan pun. Bagi pihak Bella juga, Bella minta maaf mungkin ada peminat terlebih prihatin yang mungkin ‘viral’kan mak mentua awak. Bella pun minta maaf juga.
“Terima kasih sebab sudi menghubungi Bella, tapi jangan risau bagi pihak Bella, iyalah benda-benda ini di luar jangkaan.
“Dalam masa yang sama, Bella sebenarnya okey sahaja, tiada apa-apa kecederaan. Sampaikan salam pada mak mentua awak. Semoga kita dapat berjumpa lagi, Insya-Allah,” katanya.
Terdahulu, tindakan wanita berkenaan yang menarik tengkuk Bella sebelum mengucup pipinya pada majlis persandingan itu sebelum ini menjadi tular di media sosial dan menerima pelbagai reaksi netizen.
Insiden tercetus ketika Bella, 32, atau nama sebenar, Dayang Nabellah Awang Astillah dan suami, Syed Saddiq, 33, sedang menyantuni tetamu yang meraikan hari bahagia mereka.
Menerusi video berkenaan, seorang wanita secara tiba-tiba memegang tengkuk Bella sebelum menariknya untuk mengucup pipi pelakon itu tanpa diduga.
Majlis Kenduri Rakyat yang diadakan di Yong Sheng Banquet Hall, di Jalan Bakri, Muar pada Ahad lalu dihadiri lebih 10,000 orang tetamu.
Bella dan Syed Saddiq melangsungkan pernikahan dalam majlis tertutup pada 10 Oktober lalu sebelum mengadakan resepsi besar-besaran di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, pada 18 Oktober.
Selepas Muar, majlis perkahwinan mereka akan diteruskan menerusi satu lagi Kenduri Rakyat di Kota Kinabalu, Sabah, pada 31 Oktober ini. – HIBGLAM

