‘XPDC sedia reunion lagi, jangan ada yang tercicir’

PADA 17 Oktober lalu berlangsung konsert XPDC Reunion di Mega Star Arena Kuala Lumpur yang menyaksikan penyatuan semula Ali, Izo, Zuar dan Amy tanpa Lola serta Eddie di pentas sama selepas 11 tahun berpisah.

Persembahan sukses, namun dalam kalangan pengikut tegar, ketiadaan Lola dan Eddie, yang digantikan dengan kehadiran dua bekas anggota Wings, Black serta Eddie tetap mengundang tanda-tanya.

Lantas, jika masih masih ada ruang, XPDC tidak menolak andai diajukan tawaran mengadakan konsert reunion sekali lagi dengan XPDC Kita Pengyu (KPY), namun dalam masa sama berharap semua anggota diberi peluang berkongsi pentas tanpa ada nama yang tercicir.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pemain gitarnya juga antara tunjang asal, Izo, berkata penganjuran konsert reunion pada masa depan wajar melibatkan semua anggota yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan band tersebut sejak ditubuhkan sekitar 1988.

“Andai mahu merealisasikan konsert reunion lagi selepas ini, lebih baik jemput semua sekali. Jangan ada yang tertinggal atau diketepikan.

Lola pun sudah lama bersama XPDC. Eddie juga sama. Tak patut kalau ada tercicir, persembahan pun jadi kurang menarik.

“Harapnya selepas ini ada rezeki untuk kami semua berkumpul tanpa ada yang tercicir ,” katanya ketika ditemui selepas sidang media Tabik! Kuasa Tiga (The Times, Gerhana Ska Cinta dan XPDC) di Odeon Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah Izo, konsert perhimpunan semula XPDC wajar mengutamakan kehendak penggemar yang mahu menyaksikan kesemua tunjang berkongsi pentas, tanpa membezakan antara satu sama lain.

“Konsert sebegini bukan untuk kami semata-mata, tetapi demi peminat. Kita main muzik untuk hiburkan ereka.

“Peminat ingin lihat semua anggota XPDC berada atas satu pentas. Macam konsert baru-baru ini, ramai yang bertanya kenapa Lola tiada, kenapa yang itu pun tiada?

Susah nak jawab kerana keputusan terletak kepada penganjur. Bukan kami yang keluarkan kos untuk konsert. Kami pun diundang dan dibayar untuk membuat persembahan,” ujarnya.

Pada masa sama, Izo menegaskan tiada masalah dari segi profesionalisme, malah penyatuan menerusi muzik menjadi perkara utama apabila disatukan membuat persembahan.

BIARPUN ada dua ‘kem’ berbeza, Izo berharap tidak salah jika penganjuran konsert reunion XPDC pada masa akan datang turut menghimpunkan semua nama yang pernah menyatu bawah jenama kumpulan ikonik itu.

Akui Izo lagi, setiap anggota perlu meletakkan kepentingan muzik dan peminat sebagai keutamaan, selain memastikan sebarang kerjasama tidak menyebabkan mana-mana pihak berasa dipergunakan.

“Apabila kita berjumpa untuk membuat persembahan, kita bercakap mengenai muzik. Di luar, kita berkawan macam biasa. Apabila melibatkan kerja, kita profesional. Kita main muzik dan hiburkan peminat.

Cuma kalau mahu buat sesuatu, biarlah dibuat dengan baik dan secara profesional. Kita mahu perkara yang dilakukan itu memberi manfaat kepada semua,” katanya.

Sementara itu, vokalisnya, Mamu berkata, konsert reunion bukan sekadar peluang mengubat kerinduan peminat, malah menjadi ruang menghimpunkan semula anggota yang sudah lama tidak beraksi bersama bawah satu bumbung.

Bagaimanapun, perancangan mengadakan persembahan seumpama itu dengan skala lebih besar bergantung kepada keputusan pengurusan dan rezeki yang bakal menyusul.

“Pertemuan semula anggota asal seperti Izo, Zuar, Zul dan Amy menerusi konsert baru-baru ini merupakan sesuatu yang positif, lebih-lebih lagi selepas sekian lama tidak berkumpul buat persembahan.

Reunion itu sebenarnya memberi peluang kepada kami beraksi di atas satu pentas. Kita juga tahu Ali sakit tetapi tetap muncul memberikan aksi terbaik, manakala arwah abang Mael pula sudah tiada.

“Bagi saya, itu sesuatu yang sangat baik dan kami semua melihat gabungan ini daripada sudut positif,” ulasnya.

Selepas berpisah sekitar 11 tahun lalu umum tahu, kumpulan ini terbahagi kepada XPDC dan XPDC KPY. Posisi Ali sebagai vokalis diganti Mamu bersama Izo (gitar), Eddie (bass), Arif (gitar) dan Lola (drum).

Sementara XPDC KPY dianggotai Zuar (bass), Jef (gitar), Amy (drum), dengan kekosongan ditinggalkan Allahyarham Mael kini diisi bekas penyanyi Fahrenheit, Ary.

Mengenai Tabik! Kuasa Tiga, program berkenaan merupakan inisiatif Life Records Malaysia memberi penghargaan terhadap tiga kumpulan termasuk XPDC menerusi pelbagai aktiviti interaktif.

Antaranya adalah Listening Party Music Experience sebuah acara khas yang menggabungkan pengenalan karya terbaharu XPDC selain penyampaian anugerah khas kepada Gerhana Skacinta dan The Times. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok