‘Saya ditahan isu pergaduhan’

DIDAKWA ditahan pihak berkuasa, pelawak Saiful Apek mengakui foto individu yang disebarkan dalam media sosial sejak semalam adalah dirinya.

Saiful Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, 56, berkata buat masa ini dia hanya dapat menyatakan punca penahanan tersebut adalah berkaitan isu pergaduhan.

“Ya, itu gambar saya. Mesti ramai tertanya-tanya punca saya ditahan polis.

“Apa yang boleh saya katakan, hal disebabkan isu pergaduhan. Itu sahaja yang boleh dikongsi.

“Tunggu saya berikan penjelasan sepenuhnya nanti,” katanya.

Pada masa sama, anggota Senario itu juga berharap orang ramai jangan mudah membuat andaian terhadap sesuatu perkara.

“Kalau boleh tolong henti sebarkan perkara yang kita tidak tahu hujung pangkal atau kesahihannya,” ujarnya.

Semalam tular gambar dikirimkan seseorang kepada media yang menunjukkan dua lelaki ditahan dua anggota beruniform di suatu lokasi yang tidak dinyatakan.

Terdahulu, pada Mac lalu seorang anggota Senario dipercayai Yassin Yahya ditahan di Lapangan Terbang Jeddah oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

Difahamkan, pelawak berkenaan menunaikan umrah bersama rakan-rakannya namun ditahan selepas disyaki membawa bahan terlarang.

Media yang menyiarkan laporan awal hanya memaklumkan seorang pelawak ditahan di Jeddah selepas disyaki memiliki dadah jenis ganja, namun tidak mendedahkan identitinya.

Pelawak terbabit dilapor menjalani hukuman penjara selama enam bulan di negara yang dijatuhkan ketika perbicaraan pada November tahun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok