‘Saya mencari Syuk New Boyz’ – Tomok mohon bantuan ramai

PENYANYI dan vokalis kumpulan New Boyz, Tomok, meluahkan hasrat untuk mencari sahabat lamanya, Syuk, yang pernah menjadi pemain bass kumpulan berkenaan.

Menerusi perkongsian di akaun media sosial, Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 42, memohon bantuan orang ramai sekiranya mempunyai maklumat mengenai keberadaan Syuk atau mengetahui cara untuk menghubunginya.

Berbelas tahun rasanya saya tak dapat bercakap dengan beliau. Kalau ada keluarga atau kawan-kawan yang ada berhubung dengan beliau, boleh DM (mesej) saya. Saya mencari Syuk New Boyz,” tulisnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menjengah ruangan komen, ramai netizen dilihat berkongsi akaun media sosial Syuk untuk rujukan Tomok. Namun akaun media sosial Syuk dikatakan sudah lama tidak aktif.

“Syahdu dan terharu rasanya bila kenalan lama masih mencari kita. Semoga Tomok dapat bertemu semula dengan Syuk. Kalau dah jumpa nanti tolong buat persembahan bersama-sama. Timbullah wahai Syuk,” komen netizen.

Syuk atau nama sebenarnya Mohd Syukri Mohd Shanushi , merupakan antara anggota asal New Boyz ketika kumpulan itu mula mencipta fenomena sekitar penghujung 1990-an.

New Boyz yang ditubuhkan pada 1999 pada awalnya dianggotai Tomok sebagai vokalis, Syuk sebagai pemain bass selain Jay, Lan dan Along.

Kumpulan itu kemudiannya mengalami beberapa perubahan anggota, termasuk pengunduran Syuk yang selepas itu digantikan Zack sebagai pemain bass. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok