Kasih sayang Tun Mahathir, Tun Hasmah jadi inspirasi – Michelle Yeoh

BIAR jauh nun di Amerika Syarikat, bintang Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh turut terkesan dengan pemergian AllahyarhambTun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali yang disifatkannya sebagai wanita luar biasa.

Michelle berkata, keperibadian tokoh dihormati ramai yang dikongsi bersama suaminya, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi contoh kehidupan yang terus menyuntik inspirasi kepada orang ramai.

“Sesungguhnya Dr. Siti Hasmah adalah wanita luar biasa yang memiliki keanggunan, bijak dan mempunyai belas ihsan tinggi yang menyentuh hati rakyat seluruh negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kasih sayang dan perkongsian hidup anda berdua (bersama suami) menjadi inspirasi kepada kita semua,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Michelle turut menitipkan doa buat Mahathir dan seluruh keluarga agar diberikan ketenangan serta kekuatan dalam mengharungi detik sukar kehilangan insan tersayang.

“Kami mendoakan agar anda serta keluarga diberikan ketenangan dan kekuatan dalam melalui detik yang sukar ini.

“Semoga Allahyarham Dr. Siti Hasmah bersemadi dengan tenang,” ujarnya.

Lebih menyentuh perasaan apabila pelakon filem Everything Everywhere All at Once itu berkongsi foto Allahyarham sedang menggesek biola.

Foto tersebut menghidupkan kembali kenangan terhadap sosok Dr. Siti Hasmah yang bukan sahaja dikenali kerana jasa, malah mempunyai sisi peribadi yang dekat dengan seni.

Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pagi kelmarin.

Pemergian beliau meninggalkan legasi panjang sebagai tokoh wanita yang banyak menyumbang dalam bidang kesihatan, kebajikan dan pembangunan masyarakat sepanjang hayatnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok