SELEPAS 23 tahun menjadi antara wajah yang menyampaikan berita kepada rakyat Malaysia, penyampai berita TV3, Yasir Mansor akhirnya mengundurkan diri.
Semalam menyaksikan Yasir atau nama lengkapnya Mohamad Yasir Mansor, 51, bersiaran buat kali terakhir sebagai pembaca berita di Buletin Utama.
Berita mengenai pengunduran Yasir sebagai pembaca berita dikongsikan menerusi satu pengumuman yang dibuat dalam akaun media sosial Buletin TV3.
“Selepas lebih 23 tahun menghiasi kaca TV siaran waktu perdana, penyampai berita berkaliber TV3, Yasir Mansor menamatkan tugasan di set Buletin Utama, malam ini (semalam),” tulis mereka.
Walaubagaimanapun, Yasir tidak meninggalkan terus syarikat Media Prima, sebaliknya dia kini bertugas sebagai editor unit berita TV3.
Dalam video ucapannya, Yasir mengucapkan terima kasih kepada semua penonton buletin TV3.
“Saya ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang selama ini membimbing saya termasuklah pihak pengurusan, bekas-bekas pembaca berita terdahulu yang menjadi mentor saya, dan paling utama kepada anda semua penonton-penonton buletin TV3 yang sentiasa menonton dan menyokong kami. Anda memang best,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen mengucapkan terima kasih kepada Yasir kerana sudah menyampaikan berita kepada rakyat Malaysia selama lebih dua dekad.
Netizen turut memuji penampilannya yang tidak dimamah dek usia dari dulu hingga sekarang biarpun sudah mencecah usia 50-an.
Sepanjang berada di TV3, Yasir melalui pelbagai fasa perkembangan industri televisyen dan perubahan landskap pemberitaan, termasuk peralihan daripada medium penyiaran tradisional kepada era digital.
Pengalamannya sebagai penyampai berita turut menyaksikan dia mengendalikan pelbagai laporan penting, selain menjadi antara wajah yang sering menghiasi kaca televisyen menerusi program berita utama TV3. – HIBGLAM

