PENGARAH dan penerbit Datuk Yusof Haslam berharap anaknya yang juga sutradara Syamsul Yusof dapat menyelesaikan dia filem arahannya The Original Gangster (OG) (genre aksi) dan Khawarij (genre seram) yang tertangguh sejak beberapa tahun lalu.
Menurut Yusof, 72, dua filem tersebut kini hanya berbaki proses suntingan akhir dan dijangka disiapkan hujung tahun ini sebelum ditayangkan kepada umum sekitar tahun depan.
Filem Syamsul ini sudah masuk empat tahun terutama OG. Saya jumpa dia pada hari raya lalu, dia balik ke rumah dan beritahu ‘insya-Allah pa, saya akan selesaikan’.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Saya harap dan mudah-mudahan dia akan selesaikan filem OG pada hujung tahun ini, selesaikan untuk tayang pada tahun depan.
“OG dah tinggal suntingan akhir dan saya percaya insya-Allah pada tahun ni dia akan siapkan. Filem Khawarij juga mungkin akan tayang tahun depan, mungkin penghujung,” katanya.
Dalam pada itu, dia juga berharap Syamsul terus bersemangat dalam menghasilkan lebih banyak karya baharu selepas ini.
Dia juga tidak menolak kemungkinan kelewatan penghasilan beberapa filem Syamsul adalah disebabkan masalah peribadi yang dilalui sebelum ini.
“Mungkin dulu dia lewat (siapkan filem) sebab masalah peribadi. Kita tak tahu masalah orang.
Saya akan terus mendoakan Syamsul agar kekal beristiqamah, kuatkan semangat juang buat filem dan selesaikan kerja-kerja filem yang terbengkalai sebab ramai orang menunggu.
“Saya pergi mana-mana, orang akan tanya ‘Datuk, OG dan Khawarij bila keluar?’ Saya kata bukan filem saya. Tapi saya dan isteri mendoakan yang terbaik untuk dia.
Walaupun dia tak bekerja bawah naungan Skop Productions pun saya tidak kisah, asalkan dia pegang amanah orang, selesaikan filem,” katanya lagi.
Sementara itu, dia memberitahu, pengarah yang juga anaknya, Syafiq Yusof bakal meneruskan projek kesinambungan Blood Brothers yang dijangka diterbitkan pada tahun depan.
Terdahulu, Dua filem arahan Syamsul iaitu OG dan Khawarij tertangguh tayangannya sejak pengumuman rasmi pada tahun 2022.
Projek-projek ini mengalami kelewatan berikutan kemelut peribadi dan ketiadaan perkembangan daripada pengarah tersebut buat seketika.
Filem OG membariskan pelakon hebat seperti Sharnaaz Ahmad, Beto Kusyairy, Shaheizy Sam dan Rosyam Nor. – HIBGLAM

