Neraca timbang tara, macam mana artis boleh mengajar di universiti?

BARU berkongsi berita gembira mengenai pelantikan sebagai pengajar sambilan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pelawak dan pelakon Shahrol Shiro berdepan kritikan netizen yang meragui kelayakan serta rasional pemilihannya.

Pemilihan Shahrol yang sepatutnya khabar gembira bertukar menjadi perdebatan apabila sebahagian pengguna media sosial mempersoalkan alasan seorang penggiat seni diberi ruang mengajar di institusi pengajian tinggi.

Persoalannya mudah tetapi cukup untuk mencetuskan polemik. Adakah pengalaman di pentas boleh mengatasi kekurangan kelayakan akademik atau kedua-duanya memang mempunyai tempat yang berbeza?

Memuatkan artikel berkaitan…

Lebih panas, ada pemerhati meminta Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menjelaskan rasional hal tersebut kerana dalam situasi ramai graduan bergelut mendapatkan tempat dalam bidang masing-masing, selebriti pula mudah ‘masuk’ mengajar di universiti.

Begitupun, UKM tidak membiarkan polemik berlarutan apabila menjelaskan kedudukan sebenar Shahrol atau nama sebenarnya, Shahrol Azizie Azmi secara sambilan dalam Kursus Citra Universiti bagi Kelas Seni Lakon di Fakulti Pengajian Sains Citra (FPSC) adalah khusus dalam segmen ‘stand-up comedy’.

“Beliau hanya memberi latihan amali dan praktikal tanpa melibatkan pengajaran dalam kuliah,” jelas kenyataan UKM.

Jadi, gambaran seolah-olah Shahrol kini duduk di kerusi pensyarah dan mengajar subjek akademik konvensional sebenarnya tidak tepat.

Namun, penjelasan tersebut tidak bermakna semua persoalan automatik terjawab tetapi UKM memperincikan lagi bahawa pemilihan Shahrol dibuat berdasarkan pengalaman profesional sebagai pengamal industri seni.

“Lantikan ini juga berdasarkan pengalamannya sebagai pengamal industri seni yang mempunyai penglibatan dalam lakonan, persembahan, komedi, pengacaraan dan produksi,” katanya.

Di sinilah polemik menjadi lebih menarik apabila universiti melihat pengalaman industri sebagai nilai tambah, manakala netizen menilai kelayakan akademik sebagai butiran yang tidak boleh diketepikan.

Dua perspektif itu sebenarnya tidak semestinya bertembung, tetapi apabila melibatkan institusi pengajian tinggi, soal ketelusan proses pemilihan memang sukar untuk dielakkan.

Lebih-lebih lagi apabila latar belakang Shahrol yang pernah terlibat dalam arena politik turut dijadikan modal spekulasi liar sesetengah pihak.

Tidak berdiam diri, anak jati Johor itu tampil bersuara apabila menolak dakwaan bahawa pelantikannya mempunyai kaitan politik seperti disangkakan ramai.

“Saya mohon kepada anda semua, hentikanlah spekulasi yang mengatakan lantikan saya ini daripada ahli politik. Tiada kena-mengena langsung,” ujarnya.

Menurut figura berusia 42 tahun itu, idea menjadikan komedi sebagai salah satu kursus Citra tercetus selepas pertemuannya dengan pihak UKM tahun lalu, apabila beliau mencadangkan agar seni komedi diberikan ruang dalam pembelajaran mahasiswa.

“Bagi saya, universiti membawa akademik, orang industri membawa pengalaman dari lapangan. Apabila kedua-duanya bersatu, insya-Allah akan membawa manfaat kepada mahasiswa,” katanya yang dalam proses melengkapkan pengajian peringkat ijazah memandangkan sudah memiliki diploma sebelum ini.

Apa pun akhirnya, isu berkenaan bukan sekadar tentang Shahrol mahupun selebriti, namun menyentuh persoalan lebih besar bagaimana institusi pengajian tinggi menilai pengalaman industri berbanding kelayakan akademik, khususnya untuk kursus bersifat praktikal.

UKM sudah menjelaskan skop tugas artis berkenaan dan asas pemilihannya, manakala Shahrol pula sudah menafikan sebarang kaitan politik, cuma satu perkara masih menjadi tanda tanya di mata netizen sejauh mana proses pemilihan tersebut dibuat secara telus.

Apakah ukuran yang digunakan sebagai neraca timbangan ketika pengalaman selebriti bertemu dunia akademik.
Itulah hal lebih besar berbanding sekadar siapa yang mengajar komedi di dalam kelas.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok