Asya’B pertaruh Kau Ku Rindukan, kukuhkan nama di Malaysia

LEBIH sedekad memperlahankan rentak di arena muzik, penyanyi kelahiran Singapura, Asya’B kembali berkepak dengan menghasilkan single baharu berjudul Kau Ku Rindukan.

Menampilkan genre pop rock yang lebih segar, catchy dan bertenaga, lagu berkenaan menjadi taruhan pemilik nama lengkap, Nurasya Abdul Rahim itu untuk muncul dengan nafas segar.

Katanya, jika dahulu dirinya sinonim dengan irama galau, kali ini dia memilih memperkenalkan identiti muzik baharu yang lebih ringan bersama karya ciptaan Farhim (Jaafar Hashim) dengan penulis lirik: Maznimjay (Mazni Mohamad).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kau Ku Rindukan cukup istimewa kerana mengangkat tema rindu, namun disampaikan dalam suasana yang lebih manis dan membahagiakan berbanding karya terdahulu.

“Pemilihan genre pop rock pula bukan secara kebetulan apabila saya memang mahu karya lebih ringan dan bertenaga, terutama selepas mula menerima undangan mengadakan persembahan.

“Pastinya, lagu ini menjadi langkah untuk saya memperkenalkan sisi baharu identiti muzik saya, tetapi masih mengekalkan karakter dan jiwa saya sebagai penyanyi,” ujarnya..

Teruja menunggu maklum balas pendengar, lagu baharu itu turut disifatkan sebagai sebahagian daripada fasa baharu perjalanan muziknya yang semakin berani mencuba konsep berbeza.

“Lagu ini mengisahkan perasaan merindui seseorang yang dekat di hati, teringat kehadiran dan momen bersama, tetapi saya mahu sampaikan dengan cara membahagiakan.

“Perasaan rindu adalah sesuatu yang dekat dengan semua orang, jadi saya harap pendengar boleh mengaitkan lagu ini dengan pengalaman dan kisah mereka sendiri,” ungkapnya

Ceritanya lagi, dia yang pernah
dicalonkan dalam kategori Nova Media Baru pada Anugerah Planet Muzik (APM) 2012 sebelum ini mengambil keputusan memperlahankan aktiviti seni bagi melanjutkan pelajaran dan membina kerjaya dalam bidang pendidikan.

Lebih sedekad kemudian, minat terhadap muzik yang tidak pernah padam membuatkannya kembali memberikan perhatian serius terhadap bidang seni.

“Saya sedar untuk kembali bukan mudah kerana industri muzik sudah berkembang dengan begitu pesat dan ramai bakat baharu yang luar biasa.

“Tetapi saya melihatnya sebagai motivasi untuk terus belajar dan memperbaiki diri. Saya kembali bukan untuk bersaing, tetapi meneruskan sesuatu yang lama menjadi sebahagian daripada diri saya,” katanya.

Keyakinan untuk kembali aktif turut diperkukuh sokongan keluarga dan insan terdekat yang sentiasa percaya terhadap bakatnya, selain sambutan positif menerusi media sosial.

Asya’B mahu menjadikan pengalaman hidup dan kematangan yang diperoleh sepanjang meninggalkan dunia muzik sebagai kekuatan dalam menghasilkan serta menyampaikan karya.

Pengalaman sebagai pengetua sebuah prasekolah di Singapura yang menyediakan pendidikan dan sokongan kepada kanak-kanak berkeperluan khas juga banyak mempengaruhi caranyq menghayati sesebuah lagu.

Katanya, berdepan dengan pelbagai karakter, emosi dan kisah manusia setiap hari menjadikannya lebih peka terhadap perasaan orang lain, sekali gus membantu dalam penghayatan ketika menyampaikan lagu.

Bekerjasama dengan JAVS Production untuk projek ini,  Asya’B berharap dapat menghasilkan lebih banyak single selain memperkukuhkan kedudukannya dalam industri muzik Malaysia.

“Sejujurnya saya menyimpan impian untuk bekerjasama dengan nama besar seperti Ratu Rock Malaysia, Ella, serta penyanyi legenda Indonesia, Kris Dayanti,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok