DI sebalik kejayaan mengembangkan perniagaan makanan sehingga puluhan cawangan, siapa sangka pelawak Ajak Shiro pernah melalui satu fasa hidup yang membuatkan dia berasa gagal sebagai seorang suami dan bapa.
Bukan sekadar kehilangan wang simpanan, Ajak atau nama sebenarnya Mohd. Hanaffi Razak, mengakui terpaksa menjual rumah, kereta malah melepaskan barang kemas milik isterinya selepas berdepan masalah kewangan ketika mengendalikan syarikat produksi beberapa tahun lalu.
Lebih meruntun hati, kemelut kewangan tersebut memaksanya mengeluarkan ketiga-tiga anak daripada sekolah swasta, sesuatu yang disifatkan sebagai titik paling rendah dalam kehidupan.
Mengimbas kembali kejadian tersebut, Ajak berkata, ketika itu dia mengendalikan Baba Camp House Production Sdn. Bhd. dan sudah menghasilkan beberapa projek termasuk untuk stesen televisyen.
Tanpa disangka, keputusan terlalu percayakan rakan menyebabkan dia terpaksa mendahulukan wang sendiri bagi membiayai kos produksi, termasuk bayaran kru dan pelakon sehingga jumlah mencecah sekitar RM300,000 hingga RM400,000.
“Apabila kena tipu, saya terpaksa keluarkan duit simpanan sendiri.
Duit simpanan saya bukannya banyak. Tetapi kita ada ramai kru dan pelakon yang perlu dibayar. Saya sangka akan dapat semula wang selepas program ditayangkan televisyen. Tetapi bayaran yang diterima tidak setimpal apabila stesen berkenaan tidak membuat bayaran seperti yang dipersetujui,” ujarnya.
Kegagalan aliran tunai menyebabkan Ajak terpaksa membuat keputusan drastik demi kelangsungan hidup.
“Empat tahun lalu ketika saya ditipu, saya terpaksa jual rumah di Johor. Ini pertama kali saya kongsi perkara ini.
“Selepas jual rumah pun masih tidak cukup untuk kelangsungan hidup sebab hutangnya agak besar. Saya kemudian terpaksa lepaskan gelang-gelang tangan isteri dan jual kereta,” luahnya.

MOMEN terpaksa pindahkan anak, daripada sekolah swasta ke sekolah harian biasa akibat tidak lagi mampu membayar yuran persekolahan berpuluh ribu menjadi momen meruntun jiwa buat Ajak, ketika itu dia berasa gagal memberikan yang terbaik buat anak-anak.
Namun kehilangan harta benda masih belum menjadi pengalaman paling menyakitkan buat Ajak. Sebaliknya, saat terpaksa memberitahu anak-anak bahawa mereka tidak lagi boleh meneruskan persekolahan di sekolah swasta menjadi momen yang tidak boleh dilupakan sehingga kini.
Menurut bapa kepada tiga cahaya mata itu, sejak awal dia memang banyak menggunakan hasil titik peluh dalam bidang seni untuk memberi pendidikan yang dianggap terbaik kepada anak-anaknya, Mohd. Jad Thaqif, Mohd. Had Thaqif dan Nada Soffea.
“Bukanlah saya terlalu mahu anak-anak belajar di sekolah swasta, tetapi mereka memang dari awal sudah berada di situ dan sudah selesa.
“Apabila anak kedua masuk sekolah, duit yang saya dapat dalam bidang seni memang akan dihabiskan untuk pendidikan anak-anak. Jadi ketiga-tiga mereka bersekolah swasta.
Momen itu saya masih ingat. Saya berada dalam kereta dan tengok anak di belakang. Sebelum masuk kereta mereka salam kawan-kawan. Ada anak yang menangis sebab kena berhenti sekolah pada pertengahan tahun, bukan hujung tahun,” katanya.
Sebagai seorang bapa, Ajak mengakui kejadian tersebut begitu sayu sehingga menyalahkan diri sendiri kerana keluarga terpaksa menanggung akibat daripada keputusannya.
“Masa itu hati saya sebagai seorang ayah memang menangis. Saya rasa macam gagal beri yang terbaik kepada anak-anak.
Sampai saya rasa, saya ini ayah yang tidak berguna sebab terlalu percaya kata kawan, ikut cakap orang suruh saya keluarkan modal dulu. Akhirnya saya jadi begini. Yang menjadi mangsa adalah keluarga,” tuturnya beremosi.
Bangkit
Episod hitam tersebut bagaimanapun tidak mematahkan semangat, sebaliknya menjadi titik perubahan yang membuatkan Ajak bangkit dalam perniagaan.
Cuma kali ini, dia nekad tidak mahu lagi terjun ke arah sesuatu bidang sekadar bersandarkan kepercayaan terhadap orang lain tanpa melengkapkan diri dengan ilmu.
“Saya berjanji mahu mula berniaga, mahu cuba buat kedai tetapi bukan bermula tanpa ilmu.
Sebab itu apabila mahu buka restoran dan mempunyai banyak cawangan, saya cari orang yang pandai dan faham apa yang saya mahu lakukan.
“Saya cari orang yang boleh bimbing saya dan pasukan,” katanya.
Pengalaman tersebut juga menjadi antara sebab Ajak tidak bercadang kembali mengusahakan syarikat produksi biarpun dunia hiburan sudah menjadi sebahagian besar daripada kehidupannya.
Pengalaman berdepan isu bayaran lambat, tidak diterima sepenuhnya atau terpaksa berulang kali menuntut wang selepas kerja selesai membuatkan dia memilih untuk mengenepikan bidang berkenaan.
Bukan saya kata perniagaan hiburan tidak bagus tetapi sampai bila masalah sama mahu berlaku? Setiap kali minta duit, rasa seperti pengemis, kena merayu-rayu. Jadi, lebih baik saya jual nasi. Orang makan, orang terus bayar.
“Kalau orang betul-betul susah, lebih baik saya belanja dia makan daripada saya keluarkan modal, kerja sudah siap tetapi akhirnya duit tidak dapat,” katanya.
Hari ini, keputusan memulakan langkah dalam dunia kulinari, perniagaan makanan dan minuman ternyata membuahkan perjalanan baharu dalam hidup Ajak. Rangkaian Bumbu Babah yang dimulakan pada 2024 itu berkembang kepada 60 cawangan dalam tempoh kurang dua tahun.
Bagi Ajak, pencapaian paling bermakna bukan sekadar jumlah cawangan atau keuntungan perniagaan tetapi apabila dia akhirnya mampu menggantikan kembali barang kemas isteri yang pernah dikorbankan ketika berada dalam kesusahan.
Sejak mula berniaga saya sudah dapat tebus balik gelang tangan dan cincin isteri,” luahnya jujur.
Dalam masa sama, Ajak berkata, perpindahan anak-anak ke sekolah harian yang pada awalnya begitu menyedihkan sebenarnya membuka perspektif baharu kepada keluarganya.
Katanya, anak-anak akhirnya dapat menyesuaikan diri malah selesa dengan persekitaran sekolah baharu sehingga tidak mahu kembali ke sekolah lama apabila keadaan kewangannya semakin pulih.
Dahulu, Ajak perlu menyediakan sekitar RM80,000 hingga RM90,000 bagi menampung pendidikan tiga anak di sekolah swasta, namun kini kos berkenaan jauh lebih rendah di sekolah harian kerajaan.
Mereka seronok dan saya sendiri terkejut anak-anak tidak mahu kembali ke sekolah lama.
“Sekarang ini RM1,000 pun cukup untuk tiga anak, jimat banyak,” tutur Ajak sambil ketawa.

PERNAH terduduk lantaran tersilap langkah dalam perniagaan dunia hiburan, peralihan fokus perniagaan Ajak ke arah dunia kulinari, perniagaan makanan minuman ternyata membuahkan hasil apabila Bumbu Babah yang diusahakan sudah berkembang menjadi 60 cawangan.
Dituduh ‘scammer’
Semakin mengukuhkan pengaruh sebagai usahawan, perjalanan Ajak kembali mendapat perhatian selepas Babah Ventures membuka peluang pendanaan ekuiti atau Equity Crowdfunding (ECF) dengan sasaran dana RM5 juta untuk mengembangkan rangkaian perniagaan berkenaan. Bumbu Babah turut menyasarkan perkembangan sehingga 100 cawangan.
Menurutnya, langkah menawarkan pelaburan serendah RM800 bukan dibuat kerana terdesak mendapatkan wang, sebaliknya dia mahu pelanggan yang selama ini menyokong perniagaannya turut mempunyai peluang menikmati manfaat sekiranya syarikat terus berkembang.
“Saya fikir pelanggan saya bukan semuanya orang berduit tetapi mereka sentiasa menyokong dengan datang makan di kedai saya.
Jadi apa salahnya kalau mereka juga boleh menjadi rakan kongsi dalam Bumbu Babah. Kalau perniagaan ini maju, mereka pun dapat manfaat,” katanya.
Selain pegangan saham, pelanggan yang melabur RM800 turut menerima baucar tunai bernilai RM960 menerusi aplikasi Bumbu Babah yang boleh ditebus secara berperingkat dalam tempoh empat tahun.
Bagaimanapun, pengumuman berhubung pelaburan tersebut turut mengundang persepsi negatif apabila ada segelintir netizen yang menuduhnya sebagai ‘scammer’ atau cuba mengambil kesempatan terhadap orang ramai.
Terasa hati
Mengakui sedikit terkilan dengan tuduhan tersebut, Ajak bagaimanapun memilih untuk tidak melayan komen negatif, sebaliknya berharap masyarakat lebih berhati-hati sebelum membuat kesimpulan terhadap sesuatu perkara yang belum difahami sepenuhnya.
Jujur memang ada terasa hati dengan komen-komen orang tetapi saya tidak ambil benda itu sampai menyebabkan saya ‘down’.
“Dalam hidup ini kita buat baik pun orang mengata, buat jahat pun orang bercerita. Jadi lebih baik saya letakkan tepi kata-kata orang dan teruskan kehidupan,” katanya.
Katanya, istilah pelaburan atau saham tidak sepatutnya terus dikaitkan dengan penipuan tanpa memahami bagaimana mekanisme ECF berfungsi.
Ajak menjelaskan wang yang dilaburkan juga bukan diserahkan terus kepadanya kerana proses tersebut dilakukan menerusi platform pendanaan yang mempunyai mekanisme kawal selia tersendiri.
“Sebenarnya apabila orang dengar ‘crowdfunding’, mereka ingat kita minta duit orang ramai untuk kembangkan bisnes. Bukan macam itu.
Duit itu bukan terus dibayar kepada saya. Saya sendiri tidak pegang walau RM1 daripada duit yang orang masukkan. Kalau kempen berjaya barulah dana disalurkan kepada syarikat.
“Saya tak marah orang yang kata saya scam atau menipu. Cuma saya harap kita belajar dan cari ilmu dahulu.
“Sampai bila setiap kali sebut saham kita terus anggap semuanya tipu atau scam? Kita kena faham bahawa dalam pelaburan memang ada risiko,” katanya.
Pada masa sama, Ajak juga tidak melihat kritikan sebagai sesuatu yang sepenuhnya negatif kerana setiap teguran menjadi peringatan supaya lebih berhati-hati menguruskan perniagaan dan amanah orang ramai. – HIBGLAM

