“SAYA terkejut, saya baru tahu peserta dan pemenang tak ada hadiah (wang tunai).”
Demikian komen maestro muzik, Datuk Ramli MS yang melahirkan rasa terkejut apabila mendapati tiada sebarang hadiah berbentuk wang tunai disediakan untuk peserta program realiti Kilauan Emas Selebriti 2026 (KES2026).
Dalam masa sama, Ramli atau mesra disapa Tok Ram, 67, memuji kesungguhan dan pengorbanan masa, tenaga serta kos perbelanjaan pakaian yang dikeluarkan barisan selebriti sepanjang bertanding setiap minggu.
“Macam Tok Jalal (Jalaluddin) kata dia buat amal jariah itu memang sifat orang lama. Orang dulu-dulu mana ada buat kerja berkira duit.
“Saya tabik dengan semua sebab kos awak datang, masa dan baju semua. Sepatutnya harus setimpal, saya tak kata kepada Astro, jangan salah faham.
Cuma saya pertama kali dengar satu pertandingan juara tak dapat apa-apa. Itu patut fikir sekurang-kurangnya ada imbuhan yang berbaloi buat mereka,” katanya semasa sidang media KES2026, semalam.
Meskipun memuji kebaikan program tersebut sebagai platform publisiti dan ruang kembali aktif untuk selebriti lama, Tok Ram turut mencadangkan agar pihak penganjur mempertimbangkan pemberian habuan yang setimpal pada masa hadapan.
“Bagi saya mereka berjuang satu minggu dapat tiga atau dua lagu untuk habiskan. Saya memahami benda itu.
“Program ini sangat bagus bagi televisyen dan peserta yang masuk. Bagi kalian iklan untuk kerjaya.
Kalau ada yang dah lama tak keluar televisyen, bagus untuk program. Cuma satu, tambahlah sikit hadiah buat mereka,” katanya lagi.
Semalam, Datuk Jalaluddin Hassan diumumkan sebagai pemenang Kilauan Emas Selebriti 2026 manakala Datuk Ahmad Tamimi Siregar menduduki tempat kedua.
Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik Zila dan diikuti Fazlina Ahmad Daud, Amyza Aznan dan Rahhim Omar.
Sementara itu, Zila mempersoalkan tiada sebarang wang tunai atau habuan disediakan buat pemenang musim ini. – HIBGLAM

