‘Saya sangat hargai’ – Faizal Tahir terharu Fahmi Fadzil beli tiket

PENYANYI Faizal Tahir tersentuh dengan kesudian Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil membeli tiket menggunakan wang sendiri demi menyaksikan konsert solonya, Faizal Tahir: Suara Rakyat di Unifi Arena, malam tadi.

Bagi Faizal atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 47, kehadiran pemimpin itu membawa makna tersendiri, apatah lagi apabila beliau menolak tawaran tiket percuma meskipun penyanyi berkenaan berhasrat menghadiahkannya sebagai tanda penghargaan.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Seri Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi, kerana sudi bersama-sama kita pada malam ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Terima kasih, Datuk Seri. Saya sangat menghargainya. Saya sebenarnya mahu memberikan tiket percuma kepada beliau, tetapi beliau tidak mahu menerimanya dan memilih untuk membeli tiket sendiri,” katanya.

Turut hadir memeriahkan malam berkenaan ialah Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.

Konsert bermula tepat pukul 8.30 malam itu menghimpunkan sekitar 10,000 penonton di Unifi Arena, sekali gus memperlihatkan betapa utuhnya sokongan peminat terhadap Faizal sepanjang dua dekad bergelar anak seni.

Lebih daripada sebuah persembahan berskala besar, Suara Rakyat menjadi ruang buat bapa tujuh anak itu meraikan perjalanan muziknya bersama peminat, selain menghidupkan semula karya-karya pernah mewarnai kehidupan pendengar daripada pelbagai generasi.

Sepanjang lebih dua jam beraksi, Faizal mempersembahkan hampir 30 lagu merentasi fasa perjalanan seninya, termasuk karya popular seperti Coba, Sampai Syurga, Gemuruh, Hanyut dan Mahakarya Cinta.

Setiap lagu disambut sorakan serta nyanyian bersama penonton, mencipta suasana penuh emosi apabila ribuan suara bergabung mengiringi persembahan penyanyi berkenaan.

Malam itu turut diserikan dengan penampilan kumpulan nasyid Mirwana sebagai artis undangan namun, kejutan paling mencuri perhatian pastinya kemunculan maestro muzik, Datuk M. Nasir yang bergandingan dengan Faizal menerusi lagu Campak Bintang.

Kehadiran figura muzik berpengaruh itu mengundang sorakan gemuruh penonton, sekali gus menambahkan warna kepada konsert berkenaan.

Dua dekad dalam industri muzik, Faizal menzahirkan rasa syukur atas rezeki, keluarga serta sokongan peminat yang menjadi antara tonggak kekuatannya untuk terus berkarya.

“Saya sangat bersyukur kepada Allah atas segala nikmat dan rezeki dikurniakan kepada saya serta keluarga.

“Harus saya katakan, tanpa sokongan padu daripada tuan-tuan dan puan-puan selama 20 tahun dalam industri, tidak mungkin saya mampu bertahan sehingga hari ini. Namun, perjalanan ini bukanlah mudah,” katanya.

Bagi Faizal, inti pati Suara Rakyat jauh melangkaui pengalaman berdiri di atas pentas dan menyampaikan lagu-lagu popularnya. Sebaliknya, konsert itu turut meraikan hubungan emosional antara karya muzik dengan kehidupan peminat.

“Suara Rakyat bukan hanya tentang saya berdiri di atas pentas dan menyanyikan lagu-lagu sendiri.

“Lagu-lagu ini sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan ramai orang, dan malam ini saya dapat mendengar 10,000 suara menyanyikannya bersama-sama saya,” ujarnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok