MELIHAT perubahan positif Bella Astillah sejak beberapa bulan lalu, pelawak dan pengacara Nabil Ahmad menyifatkan rakan penyampainya itu semakin matang dan bersedia melangkah ke alam rumah tangga bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menurut Nabil, sepanjang hampir tujuh bulan Bella menyertai segmen 3 Pagi ERA FM, dia menyaksikan sendiri perjalanan dilalui pelakon dan penyanyi tersebut termasuk ketika berdepan fasa sukar sehingga kini sedang menghitung hari menuju alam perkahwinan.
“Daripada apa yang kita sudah nampak dan lalui, saya rasa Bella semakin matang.
“Malah, tempoh hari Bella ada bertanya mengenai rumah tangga saya dengan Zira yang sudah 15 tahun. Pak Azad (Azad Jasmin) pun sudah 14 atau 15 tahun berkahwin,” katanya pada pelancaran kempen Beli Kain Dapat Emas 2026 anjuran Jakel di Jakel Mall, hari ini.
Berkongsi lanjut, bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, Bella turut mendapatkan pandangannya mengenai kehidupan berumah tangga terutama cara memahami lelaki.
“Dia tanya pandangan dari sudut lelaki. Jadi, saya cakap dengan dia, lelaki ini kadang-kadang kena beri ruang juga.
“Bella kena jadi seseorang yang sentiasa menyokong dan sebagainya.
“Tetapi apa yang kita nasihatkan itu, saya rasa dia sudah buat. Dia memang sedang buat.
“Cuma ujian tetap akan datang. Dalam apa-apa perkahwinan pun, ujian tetap akan datang.
“Jadi, apabila ujian itu datang, kita kena sentiasa bersedia dalam apa juga keadaan,” katanya.
Dalam pada itu, Nabil mengakui gembira melihat perubahan positif Bella selepas melalui pelbagai episod dalam kehidupannya sebelum ini.
“Saya gembira sebab Bella sudah bersama kami di 3 Pagi ERA FM selama hampir tujuh bulan.
“Sepanjang tempoh itu, kita nampak perjalanan dia dari awal sampailah ke majlis pertunangan dan sekarang sudah mahu berkahwin.
“Memang sangat-sangat gembira untuk dia selepas segala yang sudah dilaluinya,” ujarnya.
Tambah Nabil, dia bersama dua lagi penyampai, Azad Jasmin dan Radin turut dapat melihat perubahan ketara Bella yang kini jauh lebih ceria berbanding ketika awal menyertai mereka.
“Saya masih ingat ketika kali pertama dia masuk dulu, ada minggu-minggu dia nampak agak ‘down’. Sebagai manusia, ada masa kita rasa tidak begitu baik.
“Tetapi sekarang apabila masuk konti, dia hanya bercerita mengenai kahwin sahaja.
“Jadi, sebagai abang, saya, Pak Azad dan Radin, apabila tengok dia macam itu, memang kita raikan.
“ERA FM buat apa yang patut. Kami jadi ‘groomsmen’ untuk dia semalam,” katanya.
Ditanya mengenai peranan yang bakal digalas pada hari bahagia Bella dan Syed Saddiq nanti, Nabil bagaimanapun memilih untuk terus berahsia.
“Kena tunggu 10 Oktober ini, tak boleh beritahu,” katanya ringkas.
Sebelum ini, Syed Saddiq dan Bella mengesahkan bakal disatukan sebagai suami isteri pada 10 Oktober depan.
Majlis pernikahan pasangan itu bakal berlangsung di aras 118, Menara Merdeka Maybank dengan konsep serba putih disulami elemen Arab atau Islamik atas permintaan keluarga.
Syed Saddiq dan Bella dilaporkan mula mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat pada 2025 sebelum mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu. – HIBGLAM

