Saya tiada pencen, duit banyak habis beli ubat – Abon

DI SEBALIK karakter mencuit hati yang sinonim dengan namanya, pelakon veteran Abon sebenarnya melalui perjalanan panjang sebelum dikenali sebagai antara aktor komedi disegani dalam industri hiburan tanah air.

Bermula di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika berusia 18 tahun, pemilik nama lengkap Sharizan Ahmad itu menegaskan beliau merupakan seorang pelakon yang kebetulan lebih dikenali menerusi karakter komedi.

Sebenarnya, saya bukan pelawak. Saya pelakon komedi,” katanya ketika mengimbau kembali perjalanan awalnya dalam dunia seni.

Menurut Abon, pengalaman di DBP membuka peluang besar kepadanya untuk menimba ilmu teater daripada ramai nama hebat, termasuk Datuk Usman Awang, Tan Sri Johan Jaaffar, dan Datuk Syed Alwi.

Katanya, ketika itu, kerja seni terutama pementasan teater dilakukan sebagai sebahagian daripada tugas hakiki tanpa mengharapkan bayaran tambahan.

“Kalau pagi itu ada pelancaran novel Salina, malam kami diminta buat pementasan. 

“Habis Salina, seminggu kita dibawa ‘tour’ satu Malaysia sebab seluruh negara ada pengedar buku DBP.

“Kalau bulan depan pula Hari Teater P. Ramlee, kami kena berlakon. Di DBP ramai pengarah teater yang hebat, tokoh seniman, tokoh sasterawan.

Tambahnya, nama pentas yang digunakan untuk ‘cari makan’ sampai sekarang iaitu Abon juga diberikan Datuk Johan yang ketika itu sebagai bergelar pegawai atasannya.

Cerita Abon, panggilan tersebut diilhamkan ketika dia membintangi sitkom Kampung Sri Wangi menerusi watak lelaki Jawa sebelum Johan memilih nama berkenaan daripada beberapa cadangan lain.

Abon itu daripada Kampung Sri Wangi. Nama daripada cerita orang Jawa. Saya jadi orang Jawa itu, orang kampung yang bodoh-bodoh alang.

“Datuk Johan bersama kakitangan DBP senaraikan dalam 12 atau 15 nama. Jadi kata Abon sesuai, tiada orang pakai lagi.

“Kalau pakai nama Sharizan, tak komersial. Saya ikut sahaja. Memang orang kenal saya sebagai Abon sampai sekarang,” imbaunya.

Rancak bercerita saat kesihatan belum pulih sepenuhnya, lelaki berusia 66 tahun itu nampak bersemangat biarpun hanya beberapa hari keluar wad selepas melakukan prosedur pemasangan stent buat kali kedua.

Watak cetus fenomena

Sambungnya lagi, selepas beberapa tahun aktif berteater, kemunculan dalam sitkom Kampung Sri Wangi mencetuskan fenomena apabila wajahnya muncul di muka depan akhbar pada keesokan harinya, sekali gus membuka peluang melebar sayap ke televisyen.

“Saya berlakon malam itu, esok paginya sitkom berkenaan meletup. Memang jadi bualan sebab keluar muka depan surat khabar.

Saya ingat lagi mereka tunjuk gambar saya, ‘Bon, gambar engkau lagi besar daripada gambar Tun Dr. Mahathir’. Dari situlah saya terus dapat tawaran berlakon,” katanya.

Namun, beliau tidak pernah melihat dirinya sebagai pelawak yang perlu sentiasa menghiburkan orang di luar gelanggang, malah sikap serius menyebabkan dia pernah dilabel sombong oleh individu yang tidak mengenali.

“Ramai kata saya sombong tetapi kalau orang dah kenal saya, baru tahu. Saya tak reti (tahu). Kadangkala sampai gaduh dengan orang. Dia tanya saya ni pelawak ke? Tak lawak pun.

“Saya tengok muka dia. Takkanlah kalau saya askar buat latihan meniarap, pegang senjata, bila balik rumah saya kena meniarap juga. Kita lawak di gelanggang, bukan tak kira tempat,” ungkapnya.

Cerita juara Maharaja Lawak Mega 2011 bersama Allahyarham Mr. Os itu lagi, perjalanannya kariernya tidak mudah. Enam tahun masa diperlukan sebelum benar-benar mendapat tempat di televisyen.

Dikenali sebagai pelawak, hakikatnya Abon selesa digelar pelakon komedi. Baginya, lawak hanyalah tugasan yang harus dijayakan sewaktu bekerja bukan sifat peribadinya sepanjang masa.

Tempoh itu diakuinya penuh dengan latihan, penantian dan pengalaman yang akhirnya membentuk dirinya sebagai aktor tahan cabaran pada hari ini.

“Enam tahun itu bodoh sahaja. Sejengkal letak muka kat dinding, bercakap sendiri. Produser ambil berlakon, alhamdulillah. Itu pun dia tengok saya berlakon. Bukan kata kita bagus, orang pilih,” ujarnya.

Semasa di DBP, Abon pernah dihantar ke Jepun selama enam bulan untuk mempelajari teater kanak-kanak sebelum kembali ke Malaysia dan ditempatkan di bahagian kewangan, 

Setelah hampir dua dekad di DBP, Abon kemudian memilih meninggalkan institusi berkenaan untuk serius sebagai pelakon komersial,

Menurutnya, perbezaan antara generasi dahulu dan hari ini adalah proses yang perlu dilalui sebelum benar-benar bersedia berhadapan kamera dan penonton.

Kadang-kadang jadi comedian ni terjun-terjun saja. Jadi pelakon ni kun fayakun, nak jadi, jadilah. Kita 18 tahun terlentang-terlentang di pentas. Tak boleh muncul di televisyen lagi.

“Bila dapat peluang, seriuslah. Pantang saya satu, jangan jadikan agama sebagai bahan lawak,” tegasnya. 

Mengimbau zaman kegemilangan bersama barisan pelakon teater seperti Wan Hanafi Su, Ahmad Yatim, Meor Hashim Manap, Sabri Yunus, Imuda, Wan Maimunah dan Jalil Hamid, menurutnya nama-nama itu kekal dan dikenali kerana asas lakonan dibina sejak di atas pentas.

“Siapa yang membesar dengan teater, nama-nama ini semua orang kenal. Sampai sekarang orang ingat. Wan Hanafi Su dan Kamarool Haji Yusoff. Datuk Rosyam pun sebumbung dengan saya,” katanya.

Di sebalik perjalanan seni yang panjang itu, Abon bagaimanapun mengakui kehidupan kini jauh berbeza apabila pergerakannya semakin terbatas. 

Jika dahulu dia boleh bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain untuk memenuhi tuntutan kerja, kini rutin hariannya lebih banyak dihabiskan di rumah.

Saya dulu boleh berlakon nun di Kuala Perlis, kemudian ambil ‘job’ di Kuala Lumpur (KL). Pukul 8.30 pagi kena ada dekat Kuala Perlis, petang sudah ada di KL. Saya memandu sendiri.

Murung

Bila keadaan sekarang begini, saya rasa macam, ‘Ya Allah, sempitnya dunia.’ Saya rasa, ‘Ya Allah, sebahagian hidup dah tak ada dah!’ Sebab kita dah biasa kerja,” luahnya beremosi.

Reda berdepan dugaan selepas disahkan mempunyai masalah saluran jantung tersumbat sejak Jun lalu, Abon yang sudah dua kali melakukan prosedur pemasangan stent kini hanya mampu meneruskan rutin hidup seadanya.

Bermula sebagai petugas DBP sekitar tahun 1980-an, Abon terus relevan apabila menjadi juara Maharaja Lawak Mega 2011 bersama regu lawaknya, Allahyarham Mr. Os.

“Buat masa ini saya kena berkerusi roda. Kadang-kadang terfikir, berapa lama nak macam ini?

“Saya duduk tengok ikan. Habis tengok ikan, saya tengok ayam. Kemudian tengok kucing. Patah balik masuk dalam rumah. Waktu keluar hospital tempoh hari dua minggu saya murung.

Doktor cakap, saya kena banyak berehat. Jangan tertekan dan mungkin tak boleh kerja berat dalam tempoh dua, tiga tahun. 

“Tapi saya kena cari pendapatan untuk biayai kos rawatan. 

“Saya tiada pencen. Simpanan pula dah banyak habis untuk berubat. Ubat untuk jantung pula mahal. Doakan saya terus kuat ye,” kongsinya.

Di hujung perbualan, pandangannya dihalakan ke kolam ikan di depan rumahnya. 

“Dada berkocak tenang, dahulu, rutin kerjanya padat namun tempoh tersebut tidak pernah dianggap sebagai beban kerana itulah kehidupan pilihannya. 

“Kini segala-galanya berubah, hanya doa dipanjatkan moga kesembuhan berpulang ke tubuhnya,” katanya. 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok