‘Ini bukan penamat’ – JessC raih World Artist of the Year

PENYANYI JessC melakar satu lagi pencapaian dalam kerjaya seninya apabila meraih anugerah World Artist of the Year pada Josie Music Awards edisi ke-12 di Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Pengiktirafan pada majlis yang berlangsung di Grand Ole Opry House, Nashville, Tennessee  20 September lalu itu cukup bermakna buat penyanyi yang mengembangkan kerjaya menerusi karya berbahasa Inggeris, Mandarin dan Melayu tersebut.

Mengakui masih cuba menghadam kejayaan berkenaan, JessC berkata, kemenangan itu menyentuh impian zaman kecilnya untuk memberikan sumbangan bermakna kepada negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Saya masih cuba menghadam semuanya… Sejak kecil, saya menyimpan impian untuk suatu hari nanti dapat memberikan sumbangan yang bermakna kepada negara saya.

“Saya tidak pernah membayangkan bahawa saya akan berpeluang mewakili Australia, Malaysia dan Asia di pentas antarabangsa,” katanya.

Selain membawa pulang anugerah tersebut, JessC turut meraih dua pencalonan menerusi lagu One Chance dalam kategori Social Impact Song of the Year dan Social Impact Video of the Year.

Josie Music Awards yang memberi pengiktirafan kepada penggiat muzik bebas menerima keseluruhan 101,791 penyertaan daripada artis di lebih 40 negara bagi edisi kali ini.

Bagi JessC, kejayaan tersebut bukan hasil usaha bersendirian, sebaliknya turut didukung kerja keras pasukan antarabangsa yang menyokong perjalanan muziknya selama ini.

Justeru, dia merakamkan penghargaan kepada penganjur dan barisan juri, selain pasukan di Australia, Amerika Syarikat serta Taiwan yang terbabit dalam penerbitan lagu, penghasilan video muzik dan promosi karyanya.

Penghargaan sama turut ditujukan kepada pasukan pengurusannya di pelbagai negara, termasuk Malaysia, yang membantu memperluas jangkauan muziknya kepada pendengar antarabangsa.

Bagaimanapun, penyanyi yang berpangkalan secara profesional di Australia itu enggan melihat kemenangan terbaharu tersebut sebagai kemuncak perjalanan seni atau alasan untuk berpuas hati.

Saya tahu masih banyak yang perlu saya pelajari, dan masih banyak ruang untuk saya terus berkembang. Ini bukan penamat. Ini permulaan kepada satu bab yang baharu,” ujarnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok