DINOBATKAN sebagai juara Kilauan Emas Selebriti 2026, pelakon Datuk Jalaluddin Hassan menganggap kemenangan yang diraih pada usia 72 tahun bagaikan mimpi menjadi kenyataan.
Pada masa sama, Jalaluddin mendedahkan cita-citanya sejak kecil adalah bergelar seorang penyanyi sebelum takdir menentukan dia melakar nama sebagai pelakon.
“Saya tak sangka, macam mimpi. Bayangkan, saya tak pernah termimpi langsung terlibat benda-benda macam ini dan bergelar juara pada usia 72 tahun.
Itulah yang Allah tentukan pada saya sebab saya memang berangan-angan nak jadi penyanyi ketika kecil. Tapi tiba-tiba beralih jadi pelakon.
“Saya selalu bayang nak buat persembahan depan semua orang tapi tak pernah berpeluang,” katanya kepada HibGlam pada sidang media Kilauan Emas Selebriti 2026, semalam.
Tambahnya, kemenangan tersebut membakar semangatnya untuk terus mendalami ilmu nyanyian secara profesional dan berhasrat menimba ilmu dengan guru vokal berpengalaman seperti Cikgu Syafi.
“Bila dah menang Kilauan Emas, saya rasa bersemangat untuk terus mencari ilmu dalam bidang nyanyian pula.
Sudah semestinya saya akan pergi kelas nak cari ilmu. Saya difahamkan penyanyi-penyanyi profesional bila nak buat persembahan, mereka ada guru.
“Itu bermakna mereka pun tak berhenti untuk belajar, baiki nyanyian mereka. Apa lagi saya yang kerdil ini, tiada ilmu yang baru nak belajar.
Saya berharap sangat dapat belajar terutamanya dengan Cikgu Syafi. Dia sangat ikhlas mengajar kami,” jelasnya.
Semalam, Jalaluddin berjaya menundukkan lima peserta lain dalam Kilauan Emas Selebriti 2026.
Naib juara pula menjadi milik Datuk Ahmad Tamimi Siregar diikuti Fazlina Ahmad Daud, Amyza Aznan dan Rahhim Omar. – HIBGLAM

