DALAM zaman serba moden dan canggih ini, pasti ramai tidak boleh hidup tanpa akaun media sosial. Selain menjadi platform berkomunikasi secara maya, media sosial juga menjadi tempat untuk mencari rezeki buat sesetengah pihak.
Bagi selebriti pula, akaun media sosial merupakan platform untuk mereka berhubung dan mendekati jutaan peminat. Selain berkongsi perihal kerjaya, media sosial juga menjadi ‘album’ gambar untuk selebriti berkongsi mengenai kehidupan peribadi mereka.
Bintang Bollywood antara selebriti yang memiliki pengikut media sosial paling ramai di dunia.
Priyanka Chopra misalnya memiliki 92.5 juta pengikut Instagram.
Sementara Alia Bhatt, Deepika Padukone dan Katrina Kaif masing-masing mempunyai lebih 80 juta pengikut Instagram.
Biarpun media sosial menjadi platform penting buat selebriti pada zaman ini, masih ada bintang popular menolak menjadi hamba media sosial dengan menjalani hidup tenang tanpa perlu berkongsi apa-apa dengan publik.
HibGlam senaraikan lima bintang Bollywood yang tidak memiliki akaun media sosial meski terkenal seantero dunia.
- Rani Mukerji
Terkenal sebagai pelakon yang sangat menjaga privasi, Rani selesa tidak mempunyai sebarang akaun media sosial. Malah, pelakon yang mencipta nama menerusi filem Kuch Kuch Hota Hai itu juga tidak pernah mempamerkan wajah anaknya, Adira Chopra di mana-mana. Segala berita terkini mengenai Rani akan dikongsikan menerusi akaun media sosial syarikat Yash Raj milik keluarga suaminya. Dia juga merupakan pelakon di bawah pengurusan syarikat gergasi tersebut.
- Ranbir Kapoor
Pelakon kacak yang juga suami kepada Alia Bhatt ini tidak mempunyai akaun media sosial rasmi meski dia antara bintang paling berpengaruh di Bollywood.
Namun, wajahnya dapat dilihat dalam akaun media sosial isterinya.
Menerusi wawancara Koffee With Karan, Ranbir bagaimanapun mengakui dia mempunyai akaun palsu Instagram.
- Saif Ali Khan
Nampaknya bukan sepupu Kareena Kapoor iaitu Ranbir Kapoor sahaja yang tidak mempunyai akaun media sosial, tetapi suaminya juga sama. Saif lebih selesa menjalani kehidupan sebagai pelakon tanpa memiliki sebarang akaun media sosial. Tetapi isterinya sering berkongsi momen mereka berdua dan keluarga untuk tatapan peminat dalam akaun media sosialnya. Sekali sekala wajah Saif muncul dalam akaun media sosial anaknya iaitu Sara Ali Khan.
- Rekha
Legenda filem Bollywood yang satu ini sentiasa menjadi perhatian lensa kamera dek kejelitaannya biarpun sudah mencecah usia 71 tahun.Pengaruh serta aura bintang yang ada pada Rekha tidak pernah luntur meski dia memilih untuk hidup tenang tanpa media sosial.
Sehingga hari ini dia masih laris sebagai penghias muka depan majalah terkenal termasuk Vogue Arabia.
- Amir Khan
Sebelum ini Amir pernah memiliki akaun media sosial, namun dia mengambil keputusan untuk menutupnya pada 2021 iaitu sehari selepas sambutan ulang tahu kelahirannya yang ke 56. Menurut pelakon filem Mann itu, dia bertindak memadam semua akaun sosial kerana mahu menjalani kehidupan yang lebih privasi. Pada usia begini, dia mahu menikmati hari-hari yang tenang tanpa perlu berkongsi rutin harian dengan publik.