‘Dah macam festival filem, anak seni raikan Tun M – Umie Aida

PELAKON Datin Seri Umie Aida bersama suaminya, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menganjurkan majlis Seniman Semeja bagi menyantuni dan meraikan negarawan, Tun Dr. Mahathir Mohammad (Tun M) serta isteri Tun Dr. Siti Hasmah.

Majlis yang berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana pada Isnin itu menghimpunkan puluhan anak seni tempatan yang berbesar hati untuk bertemu dan beramah mesra dengan tokoh politik tersohor itu.

Menurut Umie, majlis tersebut dianjurkan selepas ramai rakan artis yang meluahkan hasrat teringin untuk bertemu Tun M.

“Ramai sangat anak seni beritahu saya mereka teringin untuk berjumpa dengan Tun M. Saya pun tak tahu macam mana boleh tergerak hati untuk rancang menganjurkan majlis ini secepat ini.

“Dalam pada sibuk dengan penggambaran, saya cari waktu yang sesuai. Kemudian saya mula jemput rakan-rakan artis. Tak sangka ramai yang nak datang. Dah macam festival filem. Artis semua datang on time (tepati masa).

Sasaran awal adalah 100 orang, tetapi kita terpaksa tambah lagi 30 sebab ramai sangat yang nak datang. Ini pun ada ramai lagi nak datang, tetapi sudah penuh.

“Saya mohon maaf kerana tak dapat nak jemput semua rakan artis. Dewan kita pun agak kecil,” katanya kepada HibGlam.

ANTARA anak seni yang hadir untuk bertemu dan menyantuni negarawan ulung, Tun Mahathir serta isteri dalam acara Seniman Semeja di Yayasan Kepimpinan Perdana, semalam.

Tambah pelakon filem Embun itu lagi, dia gembira kerana matlamat untuk anak-anak seni tempatan memberi apresiasi kepada Tun M dan Tun Hasmah tercapai.

Kesemua anak seni yang hadir ialah mereka yang rindukan Tun M dan Tun Hasmah. Mereka semua membesar melihat perjuangan beliau. Majlis ini juga untuk memberi semangat kepada mereka berdua.

“Saya sangat gembira melihat Tun M dan Tun Hasmah sangat gembira dengan majlis ini. Begitu juga dengan rakan-rakan artis yang hadir. Semuanya teruja dan gembira akhirnya berpeluang bertemu dengan negarawan kita,” jelasnya.

Dikenali sebagai seorang yang suka membuat kek, Umie juga tidak melepaskan peluang membuat sendiri kek istimewa buat tokoh ulung dan pasangannya itu.

Saya buat kek istimewa itu sampai pukul 4 pagi. Tetapi saya buat versi yang lebih sihat. Saya kurangkan gula. Saya belajar cara nak buat kek tu dengan guru saya demi Tun M dan Tun Hasmah,” kongsinya.

Pada acara yang sama, beberapa selebriti turut membuat persembahan istimewa antaranya Erma Fatima yang membaca nukilan istimewa buat Tun M serta persembahan nyanyian daripada Datuk Ramli Sarip, Datuk Khatijah Ibrahim, Elly Mazlein, Ameng Spring dan Zizi Kirana.

Antara selebriti lain yang hadir ialah Rozita Che Wan, Fasha Sandha, Datuk Remy Ishak, Datuk Fizz Fairuz, Datin Fouziah Ghous, Aeril Zafrel, Datuk Ziela Jalil, Mimi Fly dan Zahiril Adzim. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok