‘Terima kasih berikan Bella, saya kenangan terakhir begitu indah’

PELAKON Bella Astillah dan tunangnya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membatalkan sidang media majlis perkahwinan mereka yang dijadualkan berlangsung petang ini sebaik dimaklumkan berita pemergian Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.

Bella, 32, berkata, emosi Syed Saddiq terganggu ketika mereka berdua menjalani sesi penggambaran bersama sehingga tidak mampu meneruskan perancangan yang sudah diatur.

“Kita (kami) sedang menjalani penggambaran, tetapi saya tahu hati dan fikirannya melayang ke tempat lain selepas mendengar berita duka mengenai pemergian Tun Hasmah pagi ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dia benar-benar tidak mampu untuk meneruskan apa yang telah dirancang selepas ini. Dia minta agar sidang media pada sebelah petang dibatalkan.

“Allahuakbar, kami berdua masih berada dalam keadaan terkejut,” tulisnya dalam Insta Storynya.

Sementara itu, Syed Saddiq menerusi hantaran di Instagram meluahkan perasaan sayu mengenang kembali pertemuan terakhir mereka bersama isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu, baru-baru ini.

“Tiada apa-apa tentang hari itu yang terasa seperti sebuah perpisahan. Kalaulah saya tahu itu pertemuan terakhir kita, saya berharap dua jam itu akan kekal selamanya.

Tun ketawa bersama kami, bergurau, berkongsi cerita dan memberi nasihat tentang perkahwinan, keluarga serta kehidupan.

“Beliau seorang yang sangat baik, kelakar, mesra dan penuh dengan hikmah yang hanya datang daripada cinta, pengorbanan dan pengalaman sepanjang hayat dan hari ini Tun sudah tiada. Saya benar-benar masih tidak mampu menghadamnya. Hati saya hancur,” luahnya.

Dalam masa sama, Syed Saddiq turut menzahirkan rasa terkilan apabila hajat Allahyarham untuk hadir memeriahkan hari perkahwinannya bersama Bella tidak sempat dipenuhi.

Bagaimanapun, Syed Saddiq berjanji akan sentiasa memegang teguh segala amanat arwah dalam bahtera rumah tangga mereka kelak.

“Terima kasih kerana memberikan Bella dan saya satu kenangan terakhir yang begitu indah. Terima kasih atas setiap gelak tawa, cerita dan nasihat yang Tun tinggalkan kepada kami.

Saddiq dan Bella tidak dapat memenuhi hajat Tun untuk hadir ke majlis perkahwinan kami nanti, tetapi saya berjanji nasihat Tun akan sentiasa bersama kami.

“Kami akan membawanya ke dalam perkahwinan kami, ke dalam rumah tangga kami dan insya-Allah untuk sepanjang hayat. Semoga Allah mengurniakan Tun darjat tertinggi di syurga,” ujarnya.

Tun Hasmah meninggal dunia pada di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pukul 9.20 pagi ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok