‘Tiada guna popular awal, tapi tak pandai berlakon’

KIAN mekar dalam lapangan seni, bakat pendatang baharu, Aila Azizul, pantas mencuri perhatian apabila perjalanan seninya kini berkembang daripada drama kepada layar lebar.

Nama Aila mungkin masih terlalu hijau tetapi bakat lakonannya sudah dihidu ramai pengarah dan penerbit tanah air. Buktinya, dia bakal muncul sebagai watak utama dalam filem arahan Liyana Jasmay, Pemuja Syaitan pada Oktober depan.

Mula dikenali pada usianya yang ketika ini 31 tahun, pemilik nama penuh Aila Azizul Hisham itu tidak berasakan kerjaya seninya bermula lambat sebaliknya berjalan pada waktu yang sebaiknya.

“Setakat ini tidak ada fasa yang sukar walaupun lambat menjejakkan kaki dalam industri seni. 

Memang perkembangan karier sangat perlahan tetapi perkara tersebut bukan sesuatu yang buruk atau perlu disedihkan, cuma mengambil sedikit masa.

“Setakat ini, saya sangat bertuah sebab pernah membintangi drama Generasi: The Perfect 10 dan filem Malam Terlarang yang sekurang-kurangnya membuatkan pengarah lain nampak bakat saya,” katanya kepada HibGlam.

Ketika ramai rakan seperjuangan memulakan kerjaya pada usia yang lebih muda, anak kelahiran Kuala Lumpur itu sentiasa percaya dengan rezeki dan aturan Tuhan untuk perjalanan kariernya.

“Memang kalau nak dibandingkan dengan pelakon baru lain, saya paling berusia tetapi sekarang macam semua rezeki hadir pada masa yang tepat.

“Saya sendiri tidak pernah jangka nama dikenali walaupun karya lakonan tidak cecah 10 (naskhah) pun.

“Kalau memang takdir lambat popular, saya okey saja. Mungkin Tuhan sudah aturkan yang terbaik, tak guna juga kalau popular awal tetapi tidak pandai berlakon,” jelasnya pernah aktif dalam pementasan teater sebelum ini.

Ditolak

Tiga tahun bergelar anak seni, dia juga tidak terlepas daripada pengalaman nama ditolak oleh syarikat produksi selepas menjalani sesi uji bakat sebelum ini.

Tidak berasa sedih mahu pun kecewa, dia berkata, perkara tersebut adalah lumrah yang perlu dihadapi setiap anak seni.

“Ada juga beberapa kali nama kena ‘reject’ kerana watak yang saya uji bakat itu memerlukan karakter lebih feminin. Saya pula agak kasar, sifat kewanitaan itu agak kurang.

“Mungkin juga sebab saya kurang tinggi, ada banyak faktor tetapi tidak ambil hati pun bila nama ditolak sebaliknya terus berusaha untuk jadi yang terbaik,” katanya yang diminati golongan kanak-kanak.

Pemuja Syaitan

Memegang peranan utama di samping Zul Ariffin, Elizabeth Tan dan Nadhir Nasar dalam Pemuja Syaitan, Aila mengakui terasa kerdil namun bersyukur kesemua pelakon yang terlibat memberi kerjasama serta tunjuk ajar kepadanya.

Memegang watak sebagai Khatijah, dia mengakui terharu apabila ditawarkan untuk membintangi karya arahan Liyana yang sangat diminatinya sejak kecil.

“Sangat gembira bila dapat berlakon di bawah arahan idola sendiri, banyak benda saya dapat belajar daripadanya.

“Ini juga filem kedua saya berlaku dengan Zul selepas Malam Terlarang. Dia memang banyak memabantu dengan memberi tips lakonan, saya snagat berterima kasih dengannya,” ujarnya.

Sama seperti pelakon lain, Aila berasa gementar menanti penerimaan dan respons orang ramai terhadap lakonannya dalam filem tersebut.

“Memang rasa gementar nak tengok reaksi orang ramai ditambah pula watak saya antara yang penting.

Namun, saya sudah melakukan yang terbaik dan harap orang ramai akan menikmati filem ini. Perkara yang berlaku selepas itu adalah di luar kawalan saya,” tuturnya menutup bicara.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok