MASIH menjaga batas aurat, pelakon Aniq Suhair bukan sengaja mendedahkan bahagian pusat ketika menjayakan babak tanpa berbaju dalam filem terbaharunya, Bisikan Nafsu.
Aniq atau nama sebenarnya Muhammad Aniq Suhair Mohd. Salleh, 26, berkata, dia terlepas pandang hal yang patut dielakkan itu gara-gara seluar dipakai ketika penggambaran agak longgar.
“Prinsip saya tetap sama, saya memang ‘jaga’ berkenaan aurat dan kalau boleh saya memang enggan terlalu dedahkan badan. Cuma dalam filem ini ternampak pusat sikit.
“Tidak disengajakan, seluar itu sebenarnya saya sudah tarik melepasi paras pusat, tetapi disebabkan saiznya yang agak longgar, bahagian pinggang itu melorot tanpa saya sedari.
Berita berkaitan:
Kawasan lutut dan bahagian lain memang tidak nampak, jadi saya akui saya terlepas pandang ketika melakukan adegan tersebut,” katanya selepas tayangan perdana filem berkenaan di TGV KLCC, malam tadi.
Mengulas lanjut mengenai babak tersebut, Aniq berkata, dia tidak dimaklumkan lebih awal mengenai keperluan menanggalkan pakaian ketika menerima tawaran membintangi filem arahan Riza Baharudin itu.
Namun akuinya, babak berkenaan dilakukan atas keperluan pengkisahan cerita sekali gus tetap mempertimbangkan andai perlu membuka baju lagi untuk naskhah lain.
“Saya tak tahu pun ada babak kena buka baju ketika ditawarkan watak Arizs. Itu merupakan permintaan orang sekeliling termasuk pengarah dan penerbit di saat akhir penggambaran.
“Tetapi permintaan itu juga bersandarkan keperluan. Jadi saya akur kerana kalau ikutkan saya memang berjaga-jaga bab aurat lelaki.
Jika untuk filem lain selepas ini pun tiada masalah andai diminta buka baju sekali lagi, cuma saya akan pastikan bahagian pusat ditutup dengan betul,” ujarnya.
Pada masa sama, aktor yang sudah enam tahun di arena lakonan itu sudah bersedia berhadapan reaksi penonton terutama membabitkan tubuhnya yang tampak berisi.
Katanya, perubahan fizikal itu tampak jelas disebabkan dia dalam proses ‘buat’ badan ketika menerima tawaran membintangi filem berkenaan.
“Rasanya orang mungkin akan lebih kecam bahagian perut saya. Waktu itu, saya masih sedang dalam proses untuk membesarkan badan, baru masuk gimnasium.
“Tiba-tiba dapat tawaran untuk filem ini, memang tak sempat nak ‘siapkan’ badan sepenuhnya. Jadi bila terpaksa ‘belanja’, kita reda sahajalah,” katanya.
Pada Oktober 2023, Aniq pernah merayu kepada peminat dan kenalan supaya memadam semua foto lamanya yang mengenakan seluar pendek daripada simpanan masing-masing.
Waktu itu dia meluahkan kebimbangan mengenai tanggungan dosa berterusan andai imej yang tidak menutup menutup aurat terus menjadi tatapan umum di laman sosial. – HIBGLAM

