‘Pertemuan dengan Dr. Siti Hasmah hadiah Allah’

TIDAK pernah terlintas di fikiran aktres Rozita Che Wan bahawa pertemuan terakhir dengan Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali bakal bertukar menjadi kenangan yang akan disimpan sepanjang hayat.

Rozita atau mesra disapa Che Ta, 53, berkata kesempatan duduk berdekatan dengan tokoh wanita juga isteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad sebagai memori istimewa yang hanya disedari nilainya selepas pemergian Allahyarham.

“Ada pertemuan yang bukan sekadar tentang sebuah meja dan hidangan, tetapi tentang rasa syukur kerana diberi kesempatan duduk dekat dengan seorang insan yang begitu besar jasanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hari ini, baru saya sedar mungkin pertemuan itu adalah sebuah kenangan yang Allah hadiahkan untuk saya simpan selamanya,” katanya menerusi hantaran di Instagram.

Meluahkan perasaan sayu, pelakon drama Bahagia Yang Tertangguh itu berkata, pemergian Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah dirasai seluruh rakyat yang mengenang sumbangan dan jasa beliau sepanjang hayat.

Tambahnya, keperibadian Allahyarham masih segar dalam ingatan, malah pertemuan singkat di majlis Seniman Semeja baru-baru ini meninggalkan kesan yang cukup mendalam.

“Kelembutan tutur kata, senyuman dan aura seorang wanita yang begitu mulia semuanya masih segar dalam ingatan. Terima kasih Tun, untuk satu pertemuan singkat tetapi begitu bermakna.

“Perginya seorang wanita hebat yang telah banyak berjasa kepada negara, tetapi kenangan tentang kelembutan dan kebaikan Tun akan terus hidup dalam hati kami,” ujarnya.

Dalam hantaran sama, Rozita turut menitipkan doa agar Allahyarham diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan insan beriman dan beramal soleh.

Tun Dr. Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pukul 9.20 pagi hari ini, pada usia 100 tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok