“SAYA tidak sangka akan bertemu jodoh semula secepat ini”.
Itu respons pelakon dan peragawati sensasi, Zahnita Wilson saat ditanya tentang perasaannya kembali bergelar isteri.
Menurut Zahnita atau nama lengkapnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 41, apa yang berlaku dalam hidupnya boleh diibaratkan seperti pelangi yang muncul selepas hujan.
“Alhamdulillah saya sangat bersyukur majlis akad nikah saya berjalan dengan lancar. Allah permudahkan segalanya. Sebenarnya saya masih ‘digest’ dengan apa yang berlaku hari ini.
“Selepas apa yang berlaku dalam hidup saya sebelum ini, saya anggap momen ini seperti pelangi yang hadir selepas ribut taufan,” katanya ketika ditemui usai majlis akad nikah yang berlangsung di Masjid Haji Fi Sabilillah, di sini, semalam.
Tambah Zahnita, kebahagiaannya berganda apabila tiga orang anak perempuannya, Zahfareena, 19, Zasharayna, 14 dan Zahlia Syawwal, 9 turut hadir menyaksikan hari bahagianya.
“Saya sangat gembira tiga orang anak perempuan saya ada bersama dengan saya hari ini. Malah mereka menggalas tugas sebagai ‘dulang girl’,” jelasnya.
Tenang dan lebih banyak tersenyum di sisi, Farouk Osman Yunus, 46, yang kini bergelar suami Zahnita awalnya tidak mengetahui wanita tinggi lampai itu seorang selebriti sebelum ini.
“Sejujurnya saya tak tahu pun dia (Zahnita) seorang selebriti sebelum ini. Tetapi hari ini dia sudah bergelar isteri saya,” kata Farouk yang bekerja dalam sektor kewangan
Ditanya apa yang membuatkan hatinya tertarik terhadap Zahnita sehingga membuat keputusan untuk hidup bersama, lelaki yang sebelum ini berstatus duda tanpa anak itu terus sebak dan kehilangan kata-kata.
“Maaf saya kehilangan kata-kata. Tetapi saya mencintainya bukan kerana kecantikannya. Dia lebih daripada itu. Dia sahabat saya,” katanya sambil menahan sebak dan menyapu air mata.
Berkahwin kali kedua ketika masing-masing melewati usia 40-an, pasangan itu menyerahkan soal zuriat kepada Yang Maha Esa, sekiranya diberikan rezeki, mereka terbuka untuk menimang cahaya mata baharu.
“Mungkin bukan dalam waktu terdekat ini. Tetapi kami tak menolak sekiranya diberikan rezeki,” kata Zahnita.
Bercakap soal bulan madu, kata Zahnita dia dan suami masih belum menetapkan lokasi dan masih mencari-cari destinasi yang sesuai.
Terdahulu Zahnita dan Farouk selamat diijabkabulkan sebagai suami isteri hanya dengan sekali lafaz pada pukul 11.25 pagi tadi. Zahnita dinikahkan oleh walinya iaitu abang kandungnya sendiri dalam majlis yang hanya dihadir keluarga terdekat. – HIBGLAM

