Sambutan hebat, Westlife tambah satu lagi malam di KL

DEMAM Westlife di Malaysia semakin membara apabila kumpulan pop ikonik itu menambah satu lagi tarikh persembahan berikutan sambutan luar biasa terhadap konsert pertama mereka di Kuala Lumpur.

Menerusi jelajah Westlife 25: The Anniversary World Tour, kumpulan berkenaan bakal mengadakan persembahan tambahan pada 13 Januari 2027 (Rabu) di Unifi Arena, Bukit Jalil, sehari sebelum konsert asal pada 14 Januari 2027 (Khamis).

Perkembangan tersebut sekali gus memberi peluang lebih luas kepada peminat tempatan untuk meraikan ulang tahun ke-25 perjalanan seni Westlife menerusi dua malam penuh nostalgia, harmoni memukau dan deretan lagu malar segar.

Dipersembahkan oleh Live Nation Malaysia dan PR Worldwide, dua malam di Kuala Lumpur itu turut membuka tirai jelajah Asia Tenggara Westlife sebelum mereka meneruskan perjalanan ke Singapura, Filipina, Indonesia, Thailand dan Hong Kong sepanjang Januari 2027.

Penambahan tarikh kedua hadir susulan permintaan luar biasa terhadap jelajah ulang tahun mereka, termasuk siri persembahan di Eropah baru-baru ini apabila beberapa lokasi mencatatkan jualan tiket habis.

Kehadiran Westlife ke Malaysia juga dijangka menjadi pembuka tirai tahun baharu penuh nostalgia buat peminat menerusi persembahan sarat lagu popular, harmoni vokal serta balada romantis selama dua malam berturut-turut.

Lebih istimewa, jelajah tersebut meraikan 25 tahun perjalanan Westlife dalam industri muzik, sekali gus mengimbau kembali karya serta momen muzik mereka sepanjang merentasi beberapa generasi peminat.

Sambutan hangat peminat Malaysia turut memperlihatkan hubungan istimewa antara Westlife dan peminat tempatan kekal utuh meskipun sudah suku abad berlalu sejak kumpulan itu memulakan perjalanan mereka.

Seolah-olah membuktikan masa tidak pernah mampu memadamkan pesona sesebuah karya, Westlife terus menghidupkan kembali kenangan menerusi lagu-lagu malar segar mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, Westlife turut hadir dengan album istimewa 25 – The Ultimate Collection pada 8 Mei lalu sebagai meraikan perjalanan luar biasa mereka selama 25 tahun di persada muzik pop dunia.

Album berkenaan menghimpunkan dua lagu baharu, Your Love Amazes Me dan Chariot, selain 21 karya popular mereka termasuk You Raise Me Up, Uptown Girl dan Flying Without Wings.

Koleksi berkenaan turut menampilkan material baharu dirakamkan bersama keempat-empat anggota Westlife, Shane, Nicky, Kian dan Mark, sekali gus memperlihatkan kekuatan harmoni vokal serta sentuhan penulisan lagu penuh emosi sinonim dengan kumpulan terbabit.

Dengan himpunan karya lama serta material baharu, 25 – The Ultimate Collection menjadi pelengkap kepada sambutan ulang tahun ke-25 Westlife, sebelum mereka membawa magis muzik berkenaan secara langsung ke pentas Kuala Lumpur.

Tiket bagi persembahan tambahan pada 13 Januari 2027 akan mula dijual pada Isnin, 28 September 2026, pukul 11 pagi menerusi laman rasmi golive-asia.com. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok