‘Teguran Tun Siti Hasmah jadi kenangan sampai bila-bila’

PENYANYI Zizi Kirana menyifatkan pertemuan bersama isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, minggu lalu sebagai kenangan cukup bermakna selepas tokoh berkenaan menghembuskan nafas terakhir hari ini.

Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, 41, meluahkan rasa sebak apabila pertemuan secara bersemuka bersama Allahyarhamah selepas 41 tahun usianya akhirnya menjadi detik terakhir sebelum pemergian tokoh berkenaan.

“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali telah kembali ke pangkuan Ilahi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Baru minggu lalu, selepas 41 tahun usia saya, Allah mengizinkan saya akhirnya bertemu beliau secara berdepan. Saya sempat bersalaman dengan Tun, malah beliau sempat menyapa, ‘Kenapa tangan sejuk?’

“Hari ini, teguran itu menjadi satu kenangan akan saya simpan dalam hati sampai bila-bila,” tulisnya dalam Threads.

Tambah pelantun lagu Eh itu, dia tidak pernah menyangka pertemuan singkat itu bakal menjadi salam terakhir buat Allahyarhamah.

“Tidak pernah terlintas bahawa pertemuan begitu istimewa itu rupanya menjadi salam terakhir saya buat Allahyarhamah.

Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarhamah, menerima segala amal solehnya, melapangkan serta menerangi alam kuburnya dan menempatkan beliau dalam rahmat serta syurga-Nya.

“Al-Fatihah buat Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali,” tulisnya lagi.

Berita pemergian Allahyarhamah turut mengundang ucapan takziah daripada pelbagai pihak, termasuk rakan artis serta masyarakat.

Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada pukul 9.20 pagi hari ini pada usia 100 tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok