PELAKON Caitlin Halderman meluahkan rasa simpati berikutan situasi jerebu yang terus melanda rantau ini, selain menyifatkan penduduk di negara jiran seperti Malaysia mungkin merasai impak yang lebih ketara berbanding di ibu kota Indonesia.
Menurut pemilik nama lengkap Caitlin Halderman Chaniago, 26, walaupun menetap di Jakarta, kesan letusan gunung berapi tetap membawa cabaran tersendiri kepada persekitaran mereka.
“Ya, keadaan jerebu masih parah, cuma saya tinggal di Jakarta. Jadi sebenarnya Kalimantan lebih dekat ke sini daripada Jakarta.
“Jadi, saya pasti anda semua di sini lebih terkesan berbanding kami di Jakarta.
“Kalau di Jakarta memang kita terkesan, tapi itu lebih kepada letusan gunung berapi kerana lebih dekat dengan kami,” katanya katanya kepada HibGlam ketika ditemui pada majlis tayangan perdana Viu Original, The Hidden Hand (Dia Perempuan Sialan), di sini semalam.
Tambah pelakon filem Setetes Embun Cinta Niyala itu sentiasa mendoakan agar krisis alam sekitar tersebut dapat diselesaikan segera kerana turut menjejaskan keselamatan serta kesihatan penduduk di negara jiran termasuk Singapura dan Malaysia.
Sedih melihat keadaan masih berlanjutan sampai sekarang dan saya harap saya boleh buat sesuatu. Semoga cepat selesai saja ya.
“Saya tahu memberikan impak besar, maksudnya bukan cuma di Indonesia, tapi Singapura dan Malaysia juga. Jadi saya harap akan selesai segera,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Caitlin melahirkan rasa teruja apabila berpeluang merakamkan pengalaman sulung bekerja di Malaysia dalam naskhah The Hidden Hand (Dia Perempuan Sialan).
“Sebelum ini saya pernah menerima tawaran beberapa kali cuma belum berkesempatan, kali ini mungkin menjadi rezeki saya.
“Ini adalah kali pertama saya menjalani penggambaran di sini dan saya sukakannya. Saya sukakan orang Malaysia, rasa seperti di negara sendiri,” kongsinya.
Selain Caitlin, The Hidden Hand (Dia Perempuan Sialan) turut dibintangi Meerqeen, Hannah Delisha, Datin Seri Umie Aida, Nadia Aqilah, Farah Ahmad dan Amerul Affendi. – HIBGLAM

