800 jiwa sebak, Neelofa, PU Riz ajak renung makna rumah tangga

SUASANA sebak menyelubungi program Rumah Tangga Sekadar Dunia Atau Selamanya apabila sebahagian daripada kira-kira 800 peserta yang hadir menitiskan air mata ketika mendengar perkongsian mengenai kehidupan berumah tangga.

Program anjuran Nunha pada 19 September lalu itu mengajak peserta bermuhasabah tentang pengorbanan, kesetiaan dan kesabaran dalam perkahwinan, selain amanah memelihara keluarga.

Bagi pengasas Nunha, Neelofa, pertemuan tersebut amat bermakna kerana memberi ruang kepada peserta untuk belajar, merenung dan saling mengingatkan.

“Alhamdulillah untuk setiap detik, setiap peringatan dan setiap perkongsian ilmu. Ini adalah satu pertemuan yang indah apabila banyak hati disatukan untuk belajar, merenung dan diingatkan kembali.

Saya sangat bersyukur atas setiap nikmat Allah, kecil mahupun besar, yang kita sedar mahupun tidak,” katanya.

Neelofa turut bersyukur kerana masih diberi peluang untuk meneruskan usaha dakwah bersama suaminya, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz.

“Semoga setiap perkongsian yang disampaikan menjadi asbab kebaikan, bukan hanya untuk yang mendengar, tetapi terlebih dahulu untuk diri sendiri.

Semoga Allah terus izinkan, terus pimpin dan terus gunakan kita dalam jalan yang Dia redai,” katanya.

Sementara itu, PU Riz berharap ilmu yang diperoleh peserta tidak terhenti sebaik sahaja program berakhir, sebaliknya diamalkan dalam hubungan suami isteri dan kehidupan berkeluarga.

“Bagi kami, rumah tangga bukan sekadar mencari bahagia bersama pasangan, tetapi sebuah amanah yang perlu dipelihara dengan ilmu, iman dan kesediaan untuk saling memperbaiki diri demi mencari reda Allah SWT,” katanya.

Program yang berlangsung dari pagi hingga malam itu turut dihadiri Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Antara pasangan selebriti yang terlibat ialah Datuk Seri Aliff Syukri bersama isteri serta Nabil Ahmad bersama isteri. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok