‘Kekuatan dalam diam’ – Neelofa kenang Allahyarhamah Tun Siti Hasmah

SELEBRITI versatil, Neelofa menzahirkan rasa dukacita atas pemergian tokoh wanita negara, Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali selain menyifatkan susuk berkenaan sebagai sumber inspirasi buat dirinya.

Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 37, turut menitipkan doa agar Allahyarhamah diampuni segala khilaf, dilimpahkan rahmat serta ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang solehah.

“Sesungguhnya kita milik Allah dan kepada-Nya kita kembali.

Memuatkan artikel berkaitan…

Semoga Allah mengampuni segala khilaf Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah, merahmati rohnya, melapangkan kuburnya dan menempatkannya dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang solehah. Al-Fatihah,” tulisnya dalam Instagram.

Tambah bekas pengacara MeleTOP itu, Allahyarhamah turut meninggalkan kesan mendalam dalam hidupnya sejak kecil menerusi keperibadian serta keteguhan diri sebagai seorang wanita berpendidikan, ibu dan tokoh masyarakat.

“Sejak membesar, Tun Dr Siti Hasmah ialah antara wanita saya kagumi. Beliau mengingatkan saya bahawa seorang wanita mampu berpendidikan, berjaya dan kuat namun pada masa sama tetap membawa diri dengan penuh keanggunan serta rendah hati.

Beliau seorang doktor, isteri, ibu dan wanita yang berkhidmat kepada negara. Namun, ada sesuatu begitu lembut dan penuh wibawa pada cara beliau melaksanakan setiap peranan.

“Beliau mewakili satu bentuk kekuatan yang sentiasa saya kagumi, iaitu ‘kekuatan dalam diam’,” ujarnya.

Paling penting kata Neelofa, ketokohan Allahyarhamah membuktikan seseorang wanita tidak perlu sentiasa lantang atau berada di hadapan untuk meninggalkan kesan besar kepada masyarakat.

“Tidak perlu terlalu lantang untuk menjadi kuat. Tidak perlu berada di hadapan untuk memberi impak.

Sebagai seorang wanita dan ibu, kehidupan Allahyarhamah meninggalkan begitu banyak perkara untuk saya renungkan, terutama mengenai ilmu, keluarga, khidmat serta bagaimana seorang wanita mampu memberi begitu banyak tanpa kehilangan kelembutannya.

“Legasi indah tentang kekuatan, keanggunan dan khidmat. Al-Fatihah,” jelasnya.

Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.20 pagi di IJN pada usia 100 tahun. Berita pemergian disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok