Penganjur konsert Pinkfish simpati, beri kerjasama penuh pada polis

Tidak lepas tangan, pihak pengurusan konsert malam tahun baharu, Pinkfish Countdown 2024 komited memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam melakukan siasatan menyeluruh berhubung insiden empat kematian pada acara yang berlangsung di Bandar Sunway baru-baru ini.

Menurut pihak pengurusan dalam satu kenyataan, aspek keselamatan setiap pengunjung menjadi keutamaan sepanjang konsert berlangsung selain menerima pengesahan daripada pihak berkuasa bahawa insiden tragis tersebut berlaku di luar premis acara.

Sebagai penganjur acara, kami  memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam melakukan siasatan menyeluruh terhadap kejadian tersebut dan mengambil maklum kenyataan pengesahan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa kematian tersebut berlaku di luar premis acara.

“Sementara menunggu hasil siasatan menyeluruh berkaitan kes ini, kami menegaskan bahawa setiap langkah berjaga-jaga telah diambil untuk memastikan keselamatan dan kelancaram acara termasuk Pinkfish Countdown 2024.

“Langkah-langkah tersebut termasuklah penglibatan lebih daripada 100 pegawai polis dan penempatan anggota keselamatan terlatih dan unit K9 di semua pintu masuk,” katanya.

KENYATAAN pihak penganjur Konsert Pinkfish Countdown 2024.

Menzahirkan rasa simpati, selaku penganjur, mereka bersedia untuk memberi bantuan daripada aspek sokongan kepada mana-mana pihak yang terjejas.

Kami amat sedih dengan kejadian tragis pada konsert Pinkfish Countdown 2024 yang mengorbankan empat nyawa. Doa dan salam takziah kami untuk keluarga yang terlibat terutama pada waktu yang sukar ketika ini.

“Kami bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan untuk menyediakan keperluan sokongan kepada mana-mana pihak yang terjejas termasuk keluarga mangsa.

“Keselamatan dan keselesaan setiap penonton, kakitangan dan kawasan persekitaran sentiasa menjadi keutamaan,” jelasnya.

Semalam, Kosmo! Online melaporkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menerima empat laporan polis daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berhubung kematian dua lelaki dan dua wanita tempatan selepas menghadiri sebuah konsert di Bandar Sunway kelmarin.

Hasil siasatan mendapati individu yang disahkan maut adalah antara 20 hingga 40 tahun dan masih menunggu laporan penuh bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau keracunan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok