MESKI belum diberikan rezeki, pelakon dan pengacara popular, Janna Nick meinta orang ramai tidak terlalu bersimpati dengan nasibnya yang kini masih berusaha untuk memiliki cahaya mata sendiri.
Pemilik nama sebenar Nurul Jannah Muner, 31, itu berkata, emosinya kini berada dalam keadaan baik dan menerima setiap aturan Tuhan dengan hati yang terbuka.
“Kalian janganlah simpati sangat dengan takdir golongan yang berikhtiar hamil (TTC) seperti saya ini.
“Saya okey saja dan reda dengan ketentuan Allah SWT serta yakin dengan perancangan-Nya.
“Dia lebih mengetahui apa yang terbaik buat kami,” katanya dalam satu hantaran Threads.
Namun, isteri kepada pelakon Dini Schatzmann itu tidak menafikan ada ketikanya dia juga tewas dengan emosi, namun menganggap perkara tersebut adalah lumrah biasa.
Meski begitu, dia tetap melihat perkara tersebut dari sudut positif seperti berpeluang menghabiskan masa bersama suami termasuk bebas merancang percutian berdua.
“Rasa sedih sedikit-sedikit itu biasalah. Ada detik sebegitu yang datang dan pergi. Kadang-kadang memang tidak boleh kawal.
“Hidup berdua sahaja pun tidaklah ‘sendu’ sangat. Kalau bosan, boleh pergi bercuti tanpa perlu memikirkan tentang cuti sekolah anak.
“Tetapi sejujurnya, saya okey,” katanya lagi.
Terdahulu, Janna dan Dini mendirikan rumah tangga pada Jun 2023 di sebuah pusat peranginan di Langkawi, Kedah.
Sejak berkahwin Janna dan Dini tidak pernah merancang soal anak bahkan sering berharap segera dikurniakan cahaya mata.
Dia juga pernah menangis teresak-esak meminta agar orang ramai berhenti bertanyakan soal anak selain mendedahkan sudah setahun menjalani rawatan rawatan persenyawaan in-vitro (IVF), namun gagal. – HIBGLAM
