‘Tahun lepas saya hampir gila, rasa nak meninggal’

MEMILIKI pakej lengkap dengan rupa paras menawan, kelulusan akademik membanggakan dan populariti sememangnya impian semua orang.

Hadir dengan jolokan yang boleh disebut sebagai ‘beauty with brain’, hakikatnya semua itu tidak datang bergolek. Dia layak menyandang gelaran sebegitu, namun banyak usaha harus ditumpahkan demi melestarikan cita-cita di dada.

Itu sedikit pengenalan si cantik dengan nama pentas Sharmaine Alexander ini. Memulakan langkah dalam industri seni selepas menyertai program realiti Dewi Remaja 2025, wanita genit dari Negeri Di Bawah Bayu itu semakin mengukuhkan nama dalam industri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Meskipun tidak diangkat sebagai juara, rezekinya dilihat lebih ke hadapan berbanding kebanyakan rakan seperjuangan.

Bagaimanapun, pemilik nama lengkap Sharmaine Ilenna Rudy Alexander itu menyifatkan segala pencapaian yang diraih adalah atas ketentuan rezeki masing-masing.

“Banyak juga dengar orang bandingkan, ‘ehh budak ini dapat Dewi Favorite saja tapi lagi banyak tawaran’. Itu lumrahkan.

“Contohnya Azeva dan Thalita dia dapat banyak tawaran berbanding daripada kawan-kawan lain.

“Semua ada rezeki masing-masing. Memang dalam satu program realiti, seorang yang memang naik,” katanya kepada HibGlam.

TIDAK mudah berpuas hati dengan pencapaian yang sudah diraih, Sharmaine kini mengikuti pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) sebagai sandaran masa depan dan memantapkan lagi kelulusan akademiknya. – Solekan FEIRUZ SOHOR (Instagram @feiruzsohor)

Biarpun aktif menerima tawaran, Sharmaine bagaimanapun tidak melupakan rakan-rakan Dewi lain dan sentiasa terbuka berkongsi tip dan nasihat demi melihat kejayaan bersama.

“Kawan-kawan saya faham saja, saya bagi mereka tip macam kena muat naik banyak konten, memang saya nasihatkan begitu.

“Saya pula memang seorang yang ‘supportive’. Bila kawan-kawan dapat tawaran berlakon, saya sangat gembira sebab saya tahu apa yang kami semua lalui dalam Dewi Remaja.

Sudah semesti ada yang mengadu tak dapat tawaran. Malah, ada juga rakan saya yang mengambil keputusan untuk keluar daripada industri seni dan cari kerja lebih stabil.

“Industri ini bukan kerja stabil tapi kalau rela kerja keras, akan dapat sesuatu,” ujarnya yang juga aktif sebagai hos acara.

Menukar topik bicara, wanita berusia 26 tahun itu berkongsi tentang keputusannya bergiat aktif dalam bidang seni walaupun sudah pun bergelar seorang peguam.

“Sebelum ini saya seorang peguam tetapi memandangkan saya dapat peluang masuk ke dunia hiburan, saya tak lepaskan peluang kerana bukan semua orang daripada kelompok pelajar undang-undang dapat peluang teroka kerjaya baharu.

“Saya terpaksa cipta laluan kedua, jadi rasa sayang. Saya masih muda, rugi kalau tak teroka dan buka peluang untuk diri sendiri.

Saya ada sijil dan sudah bergelar peguam, ada Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, semua itu sangat berguna dan boleh jadi pelan sokongan saya juga,” ujarnya.

Hampir gila

Menceritakan di sebalik kejayaan menggenggam Ijazah Sarjana, anak kelahiran Tuaran, Sabah itu mengakui pencapaian tersebut tidak mudah. Hebat tekanan yang harus dilalui impak melakukan tiga tugasan besar serentak.

SHARMAINE percaya pendidikan menjadikan dirinya seorang individu yang matang, mudah empati dan menghormati orang lain dalam kehidupan. – Pendandan rambut HILMI AWALL (Instagram @muahairstylist_hilmuawall)

“Tahun lepas saya hampir gila juga. Saya buat Ijazah Sarjana, sertai Dewi Remaja dengan kerja sebagai peguam juga.

“Tapi saya tak pernah beritahu, saya diam sahaja. Selepas tamat Ijazah Sarjana, barulah ada artikel tentang menyeimbangkan tiga perkara dalam satu masa.

Saya rasa nak meninggal dan ‘drop’ ketiga-tiga semua itu. Nasib baik saya tahan,” kongsinya.

Tambahnya lagi, keadaan menjadi lebih teruk apabila dia terpaksa menerima rawatan doktor selepas pengsan semasa penggambaran satu episod program Dewi Remaja.

Seminggu sekali saya akan masuk kecemasan untuk ‘drip’ sebab memang berat. Tapi orang nampak macam kita gembira saja.

“Drip itu sebab dehidrasi. Ada satu episod saya pengsan, sebab satu malam tak tidur.

Pukul 8.30 pagi saya dah terpacak di Mahkamah Shah Alam. Jadi pengalaman saya dengan peserta Dewi Remaja lain memang berbeza,” dedahnya.

Meniti laluan seni sambil mengalas beban kerjaya profesional turut membuka pintu kecaman buat Sharmaine. Dia pernah dikutuk tidak berbakat semasa masih dalam Dewi Remaja.

Namun, kritikan tersebut dijadikan pembakar semangat untuk terus membuktikan kebolehan diri.

“Tahun lepas ada orang kata saya tak ada bakat, tapi saya ‘struggling’ gila masa itu.

Saya okey saja orang cakap saya tak berikan yang terbaik dalam Dewi Remaja. Saya tak menyesal. Saya lega sebab ada ketahanan mental yang sangat kuat daripada pengalaman ini,” ujarnya.

Teruskan pengajian PhD

Selepas segalanya reda dan berjaya menerima skrol Ijazah Sarjana, Sharmaine bertekad meneruskan kerjaya seni di samping melangkah ke peringkat akademik yang lebih tinggi.

SHARMAINE berharap generasi muda hari ini sentiasa meletakkan pendidikan sebagai asas utama kehidupan. – Penata gaya NANA CHAH (Instagram @stylednynanachah)

“Kalau suatu hari nanti saya nak kembali ke industri guaman, boleh, tiada masalah sebab saya sudah ada sijil.

Kalau karier seni tak menjadi, saya akan kembali ke bidang undang-undang. Tapi sementara itu, saya sambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD),” jelasnya.

Nekad mengejar pencapaian akademik, niat Sharmaine hanya mahu menggembirakan ibunya.

“Saya teruskan pengajian sebab saya minat. Paling penting, nak buat mama saya gembira dan bangga.

Dialah yang terapkan dalam diri saya bahawa orang berpendidikan boleh pergi jauh. Kalau masih di Sabah, saya dalam zon selamat.

“Bila dah jauh dari Sabah, seorang diri di sini, memang saya jadi lebih berdikari dan bertahan,” jelasnya.

Sempat berkongsi nasihat buat Gen Z, Sharmaine berharap generasi muda hari ini sentiasa meletakkan pendidikan sebagai asas utama kehidupan.

“Kita boleh nak jadi apa sahaja tapi pastikan kita habiskan pengajian.

“Contohnya saya nak jadi pelakon tapi saya tak ada tawaran lakonan, kita ada sesuatu yang boleh ‘fall back’.

Itu yang generasi muda sekarang kena fikir, kena ada ‘backup plan’. Bukan nak cakap pendidikan sekadar ‘backup plan’ tapi ini adalah asas untuk kita bertapak.

“Kita takkan takut ke mana-mana walaupun kita dah gagal beberapa kali tapi sekurang-kurangnya kita ada tempat untuk bergantung,” kongsinya.

Malah, dia sangat mengharapkan anak muda untuk mempunyai pendidikan supaya menjadi insan yang berperibadi mulia.

“Pendidikan bukan setakat sijil sebaliknya mengajar kita banyak benda.

Contohnya macam saya, semakin saya belajar, semakin saya tunduk sebab semakin saya belajar, semakin saya rendah diri. Semakin tinggi rasa empati dan rasa lebih hormat orang,” jelasnya.

Dalam masa sama, dia juga menegaskan bahawa individu yang berpendidikan tinggi semestinya seorang yang mempunyai skil menyelesaikan masalah dengan bijak.

“Ada beza bila kita ada atau tak ada pendidikan. Contohnya cara pemikiran dan cara menyelesaikan masalah.

Bayangkan kalau saya tak ada perasaan rendah diri, saya jadi sombong. Contohnya orang kritik wajah saya nampak tua, saya akan lawan mereka dengan cara melenting atau jawab secara tak waras.

“Bila orang berikan komen begitu, saya respons dengan cara lawak supaya orang tak ambil serius.

“Kehidupan ini sudah cukup sukar jadi saya tak nak bawa imej yang orang nampak kita pun rasa berat,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok