Pasha tonjol aksi silat di Konsert Ungu 3 Dasawarsa: Special Night In Kuala Lumpur 

SEJAK pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia pada tahun 2007, hubungan antara Ungu dan peminat tempatan tidak pernah pudar.

Tidak hairanlah apabila Ungu memilih untuk meraikan ulang tahun ke-30 penubuhan mereka bersama peminat Malaysia pada 5 September lalu menerusi konsert Ungu 3 Dasawarsa: Special Night In Kuala Lumpur di Idea Live Arena. 

Membuka tirai persembahan, barisan anggota Ungu mencuri perhatian 4,000 penonton apabila tampil segak menyarungkan busana tradisi baju Melayu lengkap bersampin di atas pentas. 

Tidak cukup dengan itu, Pasha selaku vokalis turut mengejutkan peminat apabila menyampaikan lagu ikonik Cindai nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza sambil menyelitkan aksi bersilat secara berseloroh.

Selain Pasha, kumpulan yang dianggotai dengan Enda, Onci, Makki dan Rowman itu meneruskan persembahan dengan lsgu Cinta Gila, I Need You dan Ciuman Pertama. 

Bagi Ungu, Malaysia bukan sekadar lokasi konsert, sebaliknya sudah dianggap seperti tanah air sendiri selepas hampir 20 tahun bertandang ke sini.

“Kalau cakap fasal Malaysia, saya tak tahu nak cakap apa lagi. Pertama kali Ungu datang ke Malaysia adalah pada tahun 2007, bermakna sudah 17 tahun lalu. 

“Ertinya hubungan Ungu dan Malaysia ini sangat kuat. Kami selalu cakap Malaysia ini macam rumah kedua.

“Terima kasih Malaysia, sudah hampir 20 tahun, kami sayang kalian,”katanya.

Sepanjang lebih dua jam konsert berlangsung, Pasha yang terkenal dengan kelancaran berkata-kata sering berinteraksi dengan peminat Malaysia. 

Keselesaan tersebut jelas membuktikan keakraban dirinya dengan masyarakat di negara ini.

Ungu kemudiannya meneruskan persembahan dengan seleksi lagu popular mereka dari era awal 2000-an iaitu Hampa Hatiku, Percaya Padaku, Sejauh Mungkin, dan Seperti Yang Dulu.

Antara rangkaian hits lain yang turut dipersembahkan termasuklah Cinta Dalam Hati, Gerimis Mengundang, Andai Ku Tahu, dan Bila Tiba.

Selain menghiburkan menerusi nyanyian, Pasha juga kerap turun dari pentas utama untuk berada lebih dekat dengan penonton sebagai tanda penghargaan atas sokongan padu mereka.

Persembahan malam itu turut diserikan dengan kehadiran penyanyi tempatan, Marsha Milan yang diundang khas untuk menyampaikan dua buah lagu duet iaitu Bismillah Cinta dan Tercipta Untukku.

Marsha meluahkan rasa terujanya kerana dapat berkongsi pentas dengan kumpulan yang menjadi sebahagian daripada perjalanan pembesarannya.

Sebelum menyampaikan lagu terbaharu mereka berjudul Utara-Selatan, sebiji kek ulang tahun dibawa ke pentas untuk menyambut ulang tahun ke-30 penubuhan Ungu. 

Persembahan diteruskan lagi dengan lagu-lagu nostalgia seperti Aku Tahu, Kekasih Gelapku, dan Demi Waktu.

Konsert anjuran COMs Creative Studio dan DM Diamond Entertainment itu akhirnya melabuhkan tirai secara sempurna menerusi lagu penutup, Seperti Mati Lampu.

end

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok