‘Demi kebaikan semua’ – Konsert Spideraya ditukar ke IDEALIVE Arena

MENGAMBIL kira faktor cuaca tidak menentu serta situasi jerebu semasa, konsert Spideraya terpaksa beralih lokasi dari Stadium Hoki Bukit Jalil ke IDEALIVE Arena.

Menurut wakil penganjur, B7 Resources Sdn. Bhd, Khairul Afizi, perubahan lokasi pada saat akhir bukan keputusan mudah, namun langkah tersebut dilihat wajar bagi memastikan konsert yang bakal berlangsung pada 26 September depan dapat berlangsung dalam suasana lebih selesa.

“Pihak kami memahami pertukaran lokasi pada saat akhir mungkin menimbulkan sedikit kesulitan kepada peminat, terutama mereka yang sudah membuat perancangan lebih awal.

Kami amat kesal dan memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku. Namun, keadaan semasa memerlukan kami mengambil langkah sewajarnya demi kebaikan semua pihak.

“Keutamaan kami adalah memastikan peminat dapat terus menikmati Konsert Spideraya dalam keadaan lebih selesa, selain mengurangkan aktiviti di kawasan terbuka sepanjang tempoh jerebu ini,” katanya.

Jelas Khai, keputusan berkenaan turut mengambil kira keadaan Stadium Hoki Bukit Jalil sebagai lokasi terbuka, sekali gus mendorong pihak penganjur mencari alternatif lebih sesuai.

“Perubahan tempat turut melibatkan pertimbangan terhadap kebajikan semua pihak terbabit termasuk penonton, artis dan kru produksi agar kelancaran acara tidak terjejas.

Bagaimanapun, peminat tidak perlu bimbang mengenai tarikh dan waktu persembahan kerana kedua-duanya kekal seperti diumumkan sebelum ini tanpa sebarang perubahan.

“Begitu juga dengan tiket, semua kategori tiket sedia ada masih sah dan dikekalkan untuk kemasukan ke lokasi baharu,” ujarnya.

Dalam pada itu, pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada seluruh peminat Spideraya atas kesabaran, pemahaman serta sokongan diberikan susulan perubahan lokasi berkenaan.

Pemegang tiket dinasihatkan mengambil maklum mengenai venue baharu dan mendapatkan maklumat terkini menerusi saluran rasmi penganjur, khususnya berkaitan akses ke IDEALIVE Arena, pintu masuk, waktu pendaftaran, lokasi parkir serta perkara lain berkaitan konsert. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok