Laung bebaskan Palestin, Macklemore disingkir Ed Sheeran

SELEPAS melaungkan ‘Free Palestine’ ketika menjayakan persembahan di Stadium MetLife, Amerika Syarikat (AS) awal bulan ini, penyanyi rap, nama Macklemore digugurkan daripada acara pembukaan konsert jelajah Ed Sheeran.

Perkara tersebut disahkan penganjur konsert berkenaan iaitu Messina Touring Group bahawa Macklemore digugurkan daripada semua konsert Ed Sheeran.

“Sebagai penganjur konsert untuk siri jelajah Loop Tour Ed Sheeran di AS, kami dimaklumkan pihak stadium bagi tarikh jelajah AS yang akan datang bahawa mereka tidak akan membenarkan konsert diteruskan jika Macklemore berada dalam senarai artis pengiring.

“Keadaan ini bakal mengakibatkan pembatalan konsert serta menjejaskan ratusan ribu peminat.

“Selepas berbincang dengan pihak berkepentingan, Macklemore tidak akan membuat persembahan bagi baki tarikh sokongan yang tinggal,” katanya.

Bersikap positif, Macklemore terus berharap orang ramai menumpukan perhatian terhadap mangsa sebenar iaitu rakyat Palestin.

“Mangsa sebenar adalah rakyat Palestin yang dibunuh, dibiar kelaparan, tidak mempunyai tempat tinggal dan dipaksa hidup dalam keganasan yang dahsyat.

“Lebih 20,000 kanak-kanak dibunuh di Gaza, kalau tidak dibunuh hari ini, mereka akan dibunuh besok. Saya harap kita semua tak salah memberikan fokus kepada isu yang sebenar,” katanya.

Pada konsert berkenaan, Macklemore melaungkan sokongan kepada Palestin sebelum menyanyikan lagu Hind’s Hall iaitu sebuah lagu protes terhadap serangan di Gaza pada 2023.

Dia turut menayangkan video muzik memaparkan protes pelajar-pelajar Amerika Syarikat terhadap pembunuhan berama-ramai di Gaza.

“Saya mahu berdiri di sini, di atas pentas dan stadium di seluruh Amerika dan mengucapkan dua perkataan yang sangat dekat dan disayangi di hati saya iaitu Bebaskan Palestin,” katanya.

Macklemore sepatutnya dijadualkan membuat kemunculan dalam lapan daripada 10 baki konsert jelajah AS tersebut, yang dijadualkan bersambung semula pada 19 September ini di Philadelphia.

Antara stadium yang didakwa membantah kemunculan penyanyi rap berkenaan termasuklah Lincoln Financial Field di Philadelphia; Stadium Gillette di Foxborough, Massachusetts; Stadium Mercedes-Benz di Atlanta; Stadium Lucas Oil di Indianapolis; Stadium Bank of America di Charlotte, North Carolina; Stadium AT&T di Arlington, Texas; serta Stadium Raymond James di Tampa, Florida.

Sejak kejadian itu, Macklemore menerima kecaman, termasuk daripada Liga Anti-Pencegahan Fitnah (Anti-Defamation League) dan kumpulan StopAntisemitism.

Majlis Israel-Amerika (Israeli-American Council) turut menerbitkan petisyen dalam talian menggesa Sheeran menggugurkan penyanyin rap itu dalam siri jelajah konsert Loop. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok