30 Tahun, Muss, JoBranko, Eddie, Black masih menyengat!

TIGA dekad berlalu, namun apabila petikan gitar JoBranko mula mengisi ruang Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu, seolah-olah masa berhenti seketika.

Konsert Biru Mata Hitamku – 30 Tahun Anniversary juga pertemuan semula empat figura yang pernah membentuk satu bab penting dalam sejarah Wings memaparkan perjalanan nostalgia bersempena tiga dekad album ketujuh band terbabit.

Menampilkan Muss, JoBranko, Eddie dan Black, persembahan hampir tiga jam pantas membuktikan karya hebat memang terus malar segar tanpa dimamah waktu.

3 jam berharga

Disaksikan 5,000 peminat yang turut menjadi penyanyi pengiring, nuansa gelanggang acara itu sarat warna serta ‘rasa’.

JoBranko sendiri sebelum ini menyifatkan album Biru Mata Hitamku sebagai gambaran pengembaraan mereka berempat, terutama mengenai perjuangan dan pengalaman yang dilalui sepanjang bersama.

KEMUNCAK emosi apabila Biru Mata Hitamku dimainkan, iaitu lagu yang menjadi nama kepada album dan konsert itu, sekali gus terasa kapsul masa dibuka semula di hadapan ribuan peminat.

Biru Mata Hitamku adalah gambaran terbaik perjalanan kami berempat kerana liriknya tentang bab perjuangan, dikhianati dan kemudian kami tetap melangkah ke depan,” ujarnya ketika aksi bermula.

Bagi Muss selaku vokalis utama pula, album berkenaan mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana menjadi buah tangan pertamanya bersama JoBranko, Eddie dan Black.

Itu album pertama saya bersama mereka, jadi bila sebut Biru Mata Hitamku memang kita sudah nampak perjalanan itu. Kalau lagu lain tak seluas (makna) Biru Mata Hitamku. Semua ada cerita dalam lagu itu,” tambahnya.

Seperti dijanjikan, pada malam itu nostalgia 30 tahun dahulu dihidupkan semula dengan lagu Penunggu membakar suasana sebelum Enigma dan Badan Belut Kepala Ular menyusul.

Dari awal lagi keempat-empat pemuzik terbabit tampak ‘garang’, tidak hadir sekadar mengulang sejarah, sebaliknya membuktikan mereka masih memiliki ‘bisa’ yang sama.

JoBranko menjadi antara tarikan utama yang petikan gitarnya tidak hanya mengiringi vokal Muss, malah menjadi suara kedua yang menghidupkan setiap lagu.

Detik dia melunaskan ‘hutang’ menerusi Lupakanlah antara momen paling mencuri perhatian, sebelum Sejati dipersembahkan secara instrumental dengan penonton mengambil alih bahagian vokal.

Segmen tribute pula memberikan nuansa lebih emosional bersama Makam Kekasih dan Satu Titik Yang Kosong didedikasikan kepada pengkarya yang pernah bekerja dengan mereka iaitu Allahyarham JS Kevin, manakala Krisis Dipertengahan Hidup penghormatan kepada Allahyarham Bob Lokman.

Susunan akustik Makam Kekasih pula memberi ruang kepada penonton menikmati sisi lebih lembut persembahan yang disajikan.

Pastinya Muss, 58, membuktikan usia bukan alasan untuk mengurangkan tenaga apatah lagi vokalnya masih memiliki kuasa, terutama ketika mengalunkan lagu bernada tinggi.

Lebih mengagumkan, dia juga mampu memberikan komitmen terbaik pada masa sama berdepan ujian membabitkan isterinya yang masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Selayang.

KBAGI Muss, album Biru Mata Hitamku mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana menjadi buah tangan pertamanya bersama JoBranko, Eddie dan Black.

Antara detik yang paling menyentuh hati apabila penganjur juga pengasas Icon Entertainment, Iman Tang mengumumkan derma kilat untuk membantu isteri Muss, Suraya Bahari

“Pertama, terima kasih. Saya sebenarnya padam sekejap benda itu (isu kesihatan isteri), tapi okeylah ramai yang tahu. Apa pun saya teruskan konsert ini.”

Saya rasa komitmen saya berada di atas pentas ini bersama mereka yang hadir merupakan antara hal penting dalam hidup saya. Terima kasih banyak-banyak,” ungkapnya menggandakan syahdu khalayak.

Bahasa muzik

Dari sudut persembahan, kekuatan konsert ini bukan pada kecanggihan produksi semata-mata tetapi sinergi empat pemuzik yang sudah melalui perjalanan panjang bersama.

Eddie dan Black menjadi tulang belakang yang memastikan rentak kekal kemas sementara JoBranko yang turut menyumbangkan suara memberikan karakter gitar juga menjadi identiti persembahan.

Kemuncak emosi tentu sahaja apabila Biru Mata Hitamku dimainkan, iaitu lagu yang menjadi nama kepada album dan konsert sekali gus terasa kapsul masa dibuka semula di hadapan ribuan peminat.

Tempoh 30 tahun selepas kelahirannya, karya itu masih mampu membuat satu arena menyanyi sebelum lagu Watari disampaikan secara instrumental yang memberi peluang kepada muzik bercakap tanpa suara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok