Bekas isteri Fikry Ibrahim ‘tutup buku’ dengan kemaafan

TIDAK dapat mempertahankan perkahwinan, bekas isteri kepada pelakon dan pengacara Fikry Ibrahim, Siti Khalizah Alihan memilih untuk berdamai dengan takdir selepas rumah tangga mereka berakhir sekitar lima bulan lalu.

Khalizah berkata, dia mungkin belum memahami sepenuhnya punca di sebalik pengakhiran hubungan mereka, namun percaya setiap ketentuan Allah SWT pasti mempunyai hikmah.

“Saya memilih untuk meneruskan kehidupan dengan hati yang tenang menerima apa yang sudah Allah SWT tuliskan.

“Saya mungkin belum memahami sebab di sebalik pengakhiran ini hari ini, tetapi saya percaya ada hikmah dalam setiap ketentuan,” katanya menerusi perkongsian video di Instagram.

Malah wanita itu menyifatkan Fikry sebagai insan yang pernah dicintainya sekali gus menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup yang akan sentiasa dikenang.

“Terima kasih kerana pernah menjadi insan yang saya cintai dan menjadi suami saya, serta sebahagian daripada satu lembaran kehidupan yang akan sentiasa menjadi sebahagian daripada kisah hidup saya dan tidak akan pernah dilupakan,” ujarnya.

Menerusi perkongsian sama, Khalizah merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa berada di sisinya sepanjang melalui fasa sukar itu.

“Terima kasih kepada semua yang sentiasa berada di sisi saya sepanjang perjalanan ini.

“Dengan itu, saya meninggalkan lembaran ini dengan kemaafan, penerimaan dan doa,” katanya.

Khalizah turut menzahirkan kesyukuran terhadap segala yang sudah dilalui, selain menitipkan harapan untuk kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang.

“Alhamdulillah untuk apa yang telah berlaku, insya-Allah untuk apa yang bakal hadir,” ungkapnya.

Semalam, Fikry menerusi perkongsian di media sosial memaklumkan dia dan Khalizah sudah berpisah sejak 173 hari lalu.

Fikry berkata, dia mengambil sedikit masa sebelum berkongsi perkara berkenaan kerana ada perkara yang dirasakan lebih baik disimpan dan dilalui dengan tenang.

Katanya, dia memerlukan ruang untuk mengumpul kekuatan dan menerima ketentuan, selain menegaskan tiada pihak yang perlu dipersalahkan atas apa yang berlaku.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 12 Februari 2025 namun kira-kira empat bulan selepas berkahwin, rumah tangga mereka dilaporkan berdepan kemelut.

Khalizah dilaporkan memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Mei 2025 tetapi
permohonannya itu ditarik semula pada Jun tahun sama. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok