BAGAI terkena badi, pengarah Michael Ang mendedahkan tidak boleh menjejakkan kaki ke tanah perkuburan kerana berisiko berdepan gangguan atau diserang sakit misteri.
Katanya, situasi kurang menyenangkan itu membuatkannya mengelak menjalani penggambaran di kawasan perkuburan.
“Saya tak boleh buat ‘shooting’ di tanah kubur sebab kalau buat mesti saya akan demam dan tiba-tiba badan rasa berat.
Tak tahulah ada ‘benda’ ikut ke atau apa. Tak kisahlah kubur Cina ke, kubur Islam ke saya akan duduk dalam kereta saja kalau ada ‘shooting’.
“Tanyalah mereka yang pernah berlakon dengan saya, kalau babak kubur memang saya tak pergi. Saya akan suruh penolong pengarah uruskan. Kalau boleh saya cakap awal-awal kepada penulis skrip tak nak ada babak di kubur,” katanya menerusi wawancara sebuah audio siar.
Berikutan mudah terkena gangguan sejak kecil, keluarga pemilik Cube Film Sdn. Bhd itu sudah maklum dia hanya dapat beri penghormatan akhir di rumah andai berlaku kematian.
“Tak tahulah nak percaya ke tak tapi mereka (keluarga) cakap yang dari kecil saya memang tak boleh ke kubur.
Jadi kalau ada orang meninggal macam sepupu ke pakcik, saya memang tak akan pergi. Saya akan beri penghormatan di rumah sahaja.
“Tapi kalau ada orang yang sangat penting meninggal, saya akan pergi dan memang akan sakit,” katanya. – HibGlam