‘Bukan nak aibkan sesiapa, industri kita memang tiada penyatuan’

TIDAK berniat membuka aib, pelakon Liyana Jasmay meluahkan rasa kesal apabila mendapati isu kurangnya sokongan serta perpaduan dalam kalangan penggiat seni tempatan masih berterusan.

Menurut Liyana, 38, perjalanan seni bukanlah satu laluan yang mudah, namun semangat kebersamaan untuk saling menyokong antara satu sama lain masih berada di tahap yang membimbangkan.

“Sebenarnya benda ini bukannya datang daripada kalangan netizen sahaja.

“Saya bukan cuba nak menjatuhkan atau mengaibkan sesiapa, tetapi penyatuan dalam industri ini memang tak ada. Kebersamaan untuk memberi sokongan itu sangat kurang.

“Apabila melihat seseorang itu sudah berevolusi daripada satu tahap ke tahap yang lain, bukan satu perjalanan yang mudah. Saya sendiri dapat merasakan ‘vibe’ tersebut,” katanya ketika ditemui semasa majlis pelancaran trailer dan poster Pemuja Syaitan, di sini, semalam.

Selain itu, pelakon filem Papadom itu mengakui sikap dirinya yang terlalu mempercayai orang lain yang dianggap kakak sendiri kadangkala memakan diri apabila tidak disambut baik.

“Mungkin saya sendiri ada masalah kerana saya jenis yang cepat mesra. Bila saya kawan dengan seseorang, saya anggap macam kakak sendiri dan saya harapkan orang itu akan suka saya semula, tetapi sebenarnya tidak.

“Kita rasa sahaja orang sama-sama rambut hitam ini baik dengan kita, tapi mungkin sebenarnya mereka tidak berkenan dengan kita.

“Saya lebih sedih kalau mendengar kritikan daripada orang yang saya kenal berbanding orang asing,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Liyana menyifatkan lumrah industri tanah air pada hari ini seolah-olah lebih selera melihat kejatuhan rakan sekerja berbanding merayakan kejayaan bersama.

“Seni ini tiada istilah salah atau betul. Ia adalah interpretasi seseorang terhadap visi dan misi mereka.

“Saya tidak pernah menghakimi karya orang lain. Namun, lumrah dalam industri kita, melihat orang jatuh itu lebih menyeronokkan daripada menepuk tangan, orang lebih suka gelakkan kegagalan kita,” jelasnya.

Meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran, Liyana memegang pesanan arwah bapanya sentiasa menjadi azimat penguat semangat untuk terus bertahan dalam bidang seni.

“Arwah bapa saya selalu pesan, untuk berjaya itu memang susah dan memang banyak orang akan benci kita dalam perjalanan menuju kejayaan tersebut.

“Jadi, saya harus terus kuat,” katanya

Sebelum ini, Liyana meluahkan rasa kecewa apabila ada rakan industri yang bersikap talam muka apabila nampak baik di hadapan namun didakwa mengutuk di belakangnya.

Dalam perkembangan lain, Liyana mengarahkan filem pertamanya berjudul Pemuja Syaitan yang bakal menemui penonton bermula 15 Oktober depan.

Filem berkenaan menampilkan barisan pelakon seperti Zul Ariffin, Nadhir Nassar, Elizabeth Tan dan Aila Azizul. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok