PENGARAH Nurhanisham Muhammad dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Kuala Selangor kira-kira pukul 5 petang semalam.
Difahamkan, Nurhanisham atau lebih dikenali sebagai Labu, 50, mengalami sesak nafas sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Khabar duka tersebut dimaklumkan saudara terdekat Allahyarham yang dikenali sebagai Wan Sleep menerusi mesej suara WhatsApp sebelum dikongsikan pengarah, Shahrulezad Mohameddin.
Menerusi perkongsian terbabit, Allahyarham ada sejarah masalah kesihatan termasuk kencing manis dan darah tinggi.
“Sebelum ini arwah ada kencing manis dan darah tinggi.
“Arwah juga pernah dimasukkan ke hospital tetapi sudah lama,” katanya.
Jenazah arwah Labu dijangka dikebumikan pagi ini.
Sebelum ini, Allahyarham pernah mengarahkan filem seram Malam Terlarang yang telah ditayangkan pada Oktober tahun lalu.
Allahyarham juga terbabit sebagai pengarah sinematografi beberapa naskhah termasuk Sangkar (2019), Talbis Iblis (2022) dan Don Dukun (2024).
Bukan hanya filem, arwah juga banyak berkhidmat di belakang tabir termasuk untuk drama Budak Hostel Otaknya Sewel (2023), X-Change (2024), First Wives (2025) dan Kelas Belakang yang ditayangkan tahun ini. – HIBGLAM.
