‘Di set penggambaran, dia bukan anak saya tetapi pelakon’

ADA sesetengah selebriti yang hanya mahu duduk di satu takuk. Tetapi ada juga antara mereka yang mengembara ke dunia baharu untuk meneroka potensi diri.

Itu yang dilakukan pelakon Liyana Jasmay yang berani melangkah setapak lagi duduk di kerusi pengarah menerusi filem sulungnya, Pemuja Syaitan selepas bertahun-tahun menggali ilmu menerusi projek drama televisyen sebelum ini.

Untuk karya layar perak pertama, wanita berusia 38 tahun itu mempertaruhkan filem bergenre seram yang sememangnya dekat dengan hati penonton tempatan.

Dia bagaimanapun memastikan naskhah tersebut memiliki keunikan tersendiri sebagai kelainan berbanding karya seram sedia ada.

“Saya rasa kelainannya memang terletak di situ sebab jarang kita lihat filem remaja diangkat ke layar perak.

Kelainan filem ini terletak pada jalan ceritanya iaitu persahabatan. Cerita tentang golongan remaja dan anak muda di mana mereka adalah peringkat umur yang belum boleh berfikir panjang.

“Kita selalunya membuat keputusan melulu ketika muda dan apakah implikasinya,” katanya kepada HibGlam.

Ditanya mengenai keputusan menggabungkan aktor berpengalaman dengan pendatang baharu untuk buah tangan pawagam pertamanya, bagi Liyana semua itu demi strategi menarik penonton ke pawagam.

“Saya ada Zul Ariffin, pertaruhan pelakon baharu perlu seimbang dengan bintang hebat. Saya tak boleh letak semua pendatang baharu.

Saya perlukan Zul Ariffin untuk memikat hati penonton milenial dan pelakon remaja untuk menarik perhatian Gen Z, di mana mereka adalah penonton masa hadapan saya.

“Saya tak boleh nak harap hanya milenial saja yang pergi tonton wayang.

“Kita kena sedar generasi baharu adalah antara yang pergi ke pawagam,” ujarnya.

Nepotisme, kelebihan

Selain mempertaruhkan wajah baharu, pelakon filem Papadom itu juga mengetengahkan bakat anak keduanya, Selena Jasmay sekali gus menjadi filem sulung lakonannya.

“Ini kita panggil nepotisme dan kelebihan, maksudnya kalau dia tak ada bakat saya pun takkan letak.

Kalau tak mesti saya letak dua-dua (anak) kan. Sulung tak berminat langsung untuk ke hadapan.

“Jadi saya tengok dulu sejauh mana (anak) boleh pergi,” jelasnya.

Liyana bagaimanapun enggan membenarkan anaknya menerima tawaran daripada produksi luar demi mengukuhkan dahulu asas lakonan.

“Duduk bawah saya dululah sebab dia kecil lagi. Saya nak latih dia dulu.

Kalau hantar ke produksi orang dan tak beri persembahan terbaik, orang marah. Biar dia berlakon dengan saya dulu.

“Jika dah bersedia, saya rasa mungkin saya akan lepaskan, insya-Allah,” kongsinya.

Dalam pada itu, Liyana turut menitipkan pesanan kepada anaknya agar tidak mengambil mudah keistimewaan yang dimiliki, selain sentiasa mengekalkan disiplin profesional ketika bekerja.

“Ada sesetengah orang menjadi ‘nepo baby’ tidak menggunakan kelebihan dengan baik. Jadi saya cakap, dia sangat beruntung berada di situasi ini, tapi tak boleh rasa benda ini akan selama-lamanya.

Saya selalu sematkan dalam minda dia supaya bersyukur. Kalau ada dalam set penggambaran, dia bukan anak saya tetapi sebagai pelakon,” tutupnya.

Pemuja Syaitan mengisahkan sekumpulan bekas rakan sekolah yang kembali berkumpul di sebuah pulau terpencil untuk mengimbau kenangan lama.

Pertemuan tersebut berubah apabila mereka menemui semula sebuah kapsul masa yang ditanam bertahun-tahun dahulu, lalu membuka kembali rahsia yang sekian lama tersimpan.

Filem terbitan Mermaid Studios tersebut bakal menemui penonton pada 15 Oktober depan dengan barisan pelakon seperti Zul Ariffin, Elizabeth Tan, Nadhir Nasar dan Aila Azizul.

Turut melengkapkan barisan pelakon ialah Rosdeen Subuh, Dee Al Hadi, Yusuf Amin, Atoi Tohet, Selena Jasmay, Marsha Biddulph, Hakim Khan, Nat Aaliyah, Aida Amron, Ellyza Azizi dan Dhabita Auji yang akan menghidupkan watak-watak sampingan dalam perjalanan cerita ini. – HIBGLAM

CAPTION

BERTAHUN-TAHUN menjadi pelakon, penerbit dan pengarah drama televisyen, kredibilitinya kini teruji dengan filem pertama, Pemuja Syaitan.

GABUNGAN pelakon baharu dan berpengalaman dalam Pemuja Syaitan diharap mampu menjadi tarikan penonton ke pawagam.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok